Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kandang tiga gajah M'sia di Jepun jauh di bawah piawaian antarabangsa'

Aktivis kebajikan haiwan menyorot kebimbangan berhubung keadaan kandang yang menempatkan tiga gajah Malaysia yang dihantar ke Tenooji Zoo di Jepun yang disifatkan jauh di bawah piawaian antarabangsa

Aktivis kebajikan haiwan Shareen Yunos memetik laporan oleh pakar konservasi gajah dengan pengalaman lebih 50 tahun, Dr William Keith Lindsay, yang menyifatkan kawasan kurungan gajah di Tennoji Zoo sebagai tidak mencukupi untuk menampung keperluan ketiga-tiga gajah berkenaan.

Dia menganggarkan keluasan keseluruhan kandang itu hanya sekitar 1,612 meter persegi.

Walaupun keluasan itu memenuhi keperluan minimum yang ditetapkan Persatuan Zoo dan Akuarium Jepun (JAZA), katanya, ia sebenarnya jauh lebih kecil berbanding standard kebajikan haiwan di Britain yang menetapkan minimum 20,000 meter persegi bagi sehingga empat ekor gajah.

Malah, kata Shareen, Dr William merujuk kajian terdahulu yang mencadangkan sekurang-kurangnya 100 hektar ruang diperlukan bagi membolehkan gajah menjalani kehidupan yang menghampiri keadaan semula jadi.

Risiko jangka panjang kepada gajah jika masih terus duduk di dalam kandang besi begitu adalah kemerosotan tonus otot dan penyakit sendi dan tulang yang kronik.

Laporan itu turut merekodkan Dr William mengkritik reka bentuk kandang yang disifatkan terlalu artifisial dan tidak menyerupai habitat semula jadi gajah Asia.

Menurutnya, permukaan kandang terdiri daripada konkrit yang dilitupi pasir, tanpa tumbuhan semula jadi, kawasan berlindung, sungai atau lumpur yang penting untuk tingkah laku semula jadi gajah.

“Sejak bila gajah Asia duduk dalam kandang konkrit bersalut pasir? Gajah kita duduk di hutan tropikal yang penuh dengan pokok, tumbuh-tumbuhan, ada rumput, sungai dan lumpur.

“Tiba-tiba masuk kandang konkrit duduk di padang pasir, ini tidak betul,” kata Shareen dalam sidang media mengenai keadaan semasa dan kebajikan tiga gajah itu, di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Rajesh Nagarajan dan Penyelaras Pengerusi Muda Selangor, Abolqaz Anuar.

Shareen juga membangkitkan faktor persekitaran zoo yang terletak di tengah bandar Osaka dan berhampiran jalan raya utama serta laluan kereta api.

Menurutnya, bunyi trafik, kereta api, sistem pembesar suara zoo dan kehadiran pengunjung secara berterusan berpotensi menambah tekanan kepada gajah DAK - singkatan kepada gajah yang diberi nama Dara, Amoi dan Kelat.

Aspek pemakanan mereka turut dibangkitkan selepas DAK didakwa hanya diberikan makanan asas seperti rumput kering, tanpa kepelbagaian diet semula jadi seperti buah-buahan, tebu atau dedaunan yang lazim dimakan gajah di habitat asal.

“Pemakanan di sana sangat-sangat teruk. Mereka bagi rumput kering. Gajah kita makan buah-buahan, tebu dan daun-daun. Bila dia tak sihat, dia tahu nak cari ubat dekat hutan. Jadi sekarang dekat sana, tanah tandus, mana dia nak cari semua ini?” soalnya.

Tambah Shareen, Dr William turut menegaskan dari sudut saintifik yang menunjukkan tiada program pembiakan atau penyelidikan gajah dalam zoo memberi kesan langsung terhadap kelangsungan populasi gajah liar di habitat asal.

Dara, Amoi dan Kelat merupakan gajah yatim yang diselamatkan dari beberapa lokasi di Malaysia sebelum dibesarkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah. Ketiga-tiganya dihantar ke Jepun pada 10 Mac lalu dan tiba di Tennoji Zoo sehari kemudian.

Pemindahan itu telah mencetuskan perhatian warganet selepas gambar Kelat dengan gading patah tersebar di media sosial, selain kebimbangan yang dibangkitkan pengunjung Malaysia mengenai keadaan ketiga-tiga gajah itu.

Salah seekor gajah itu, Kelat, mengalami gading patah. Seekor lagi, Dara, mengalami luka pada badannya, sementara gajah bernama Amoi dikatakan menunjukkan perubahan tingkah laku.

Shareen berkata keadaan ini menjadi antara petunjuk bahawa tiga gajah Malaysia yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, di Jepun sedang berdepan tekanan akibat perubahan habitat.

Shareen turut mendakwa ketiga-tiga gajah yang dikenali sebagai DAK itu menunjukkan simptom "zoochosis", iaitu gangguan tingkah laku yang lazim dikaitkan dengan tekanan kronik dalam kalangan haiwan yang hidup dalam kurungan.

"Kelat, Dara dan Amoi ketika ini mengalami tekanan mental yang sangat teruk. Zoochosis berlaku apabila haiwan berada dalam keadaan stress berpanjangan sehingga mula menunjukkan tingkah laku berulang seperti menghayun kepala ke kiri dan kanan sepanjang hari.

"Mereka juga dilihat sentiasa mencari antara satu sama lain dan cuba mengekalkan hubungan sosial kerana gajah ialah haiwan yang mempunyai emosi, perasaan dan keupayaan membuat keputusan sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Shareen dan PEKA menggesa kerajaan serta pihak berkaitan supaya mengambil serius isu kebajikan ketiga-tiga gajah itu dan mempertimbangkan langkah terbaik bagi memastikan kesejahteraan DAK di masa hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS