mk-logo
Berita
DUN Negeri Sembilan bubar; Yamtuan Besar baru diumum esok?

Menteri Besar Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkuat kuasa Jumaat ini pada satu sidang media tergempar pada jam 11 malam tadi.

"Alhamdulillah hari ini jam 8.30 malam saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar dan tuanku telah berkenan untuk bubarkan DUN bermula esok 5/6 Jumaat.

"Saya telah ikut undang-undang tubuh kerajaan negeri," katanya.

Terdahulu, China Press melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menghadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di istana negeri malam ini, yang dipercayai turut berkaitan dengan pembubaran tersebut.

Dua minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberitahu konvensyen Pakatan Harapan bahawa Negeri Sembilan akan membubarkan DUN jika Johor berbuat demikian.

Pengumuman malam ini dibuat menjelang satu lagi acara yang dikatakan dijadual berlangsung esok pagi.

Jemputan yang tersebar mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru berkuat kuasa serta-merta.

Empat Undang Yang Memerintah negeri itu mengumumkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar seterusnya pada April lalu, selepas timbul pertikaian berhubung penyingkiran Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong.

Dipercayai majlis penabalan itu dianjurkan oleh keempat-empat Undang Yang Memerintah bersama Tengku Besar Tampin.

Jika majlis pertabalan itu diteruskan, ia akan menjerumuskan negeri tersebut lebih jauh ke dalam krisis institusi diraja.

Kewujudan dua Yang di-Pertuan Besar juga berpotensi menjadi isu pilihan raya manakala menteri besar yang baru mungkin memainkan peranan dalam menentukan siapa yang akan menduduki takhta.

Di bawah Perkara 10 Perlembagaan Negeri, Undang Yang Empat boleh melucutkan Yang di-Pertuan Besar selepas menjalankan siasatan penuh terhadap sebarang salah laku.

Namun, Perkara 10(2) mensyaratkan pengisytiharan turun takhta ditandatangani oleh semua undang serta menteri besar.

Aminuddin berpihak kepada Tuanku Muhriz dalam pertikaian dengan para undang, sekali gus membawa kepada ketidaktentuan semasa berhubung institusi diraja negeri itu.

Krisis tersebut turut menyebabkan BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin pada April lalu. Namun, usaha membentuk kerajaan baru gagal, dengan naib presiden PKR itu mengetuai kerajaan minoriti sehingga DUN dibubarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS