Hospital Segamat memerlukan tambahan 49 doktor, khususnya membabitkan jawatan pegawai perubatan (MO) bagi membolehkan sistem perkhidmatan kesihatan beroperasi secara lebih ideal.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata hospital itu memerlukan 169 doktor bagi memenuhi keperluan semasa berbanding 120 doktor yang bertugas ketika ini termasuk pakar dan pegawai perubatan.
Katanya khidmat petugas kesihatan itu amat diperlukan lebih-lebih lagi untuk mengendalikan pelbagai perkhidmatan serta jabatan yang sebahagiannya beroperasi 24 jam sehari.
"Petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, namun kekurangan tenaga kerja menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama dan beberapa janji temu terpaksa dijadualkan semula," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ling turun padang ke Hospital Segamat pagi tadi selepas menerima banyak maklum balas daripada masyarakat mengenai kekurangan petugas kesihatan yang menyebabkan tempoh menunggu di beberapa jabatan menjadi lebih panjang.
Dia berkata kerajaan negeri menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memohon bantuan penempatan tambahan petugas kesihatan ke Hospital Segamat.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan dakwaan Hospital Segamat akan ditutup mulai 1 Julai seperti yang tular menerusi media sosial.
- Bernama
