Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, dekat Tapah sejak 24 Mei lepas berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon, berkata mangsa yang berusia 49 tahun itu ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri Bah Eng, kira-kira jam 3 petang.
“Selepas menjumpai mangsa, beliau memaklumkan perkara tersebut kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sayani berkata mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.
“Setakat ini, orang hilang berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut sedang diuruskan pihak berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua malim gunung perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki.
Bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan berasingan berkata Jaslinda yang ditemukan dalam keadaan selamat petang tadi dibawa ke sebuah kampung Orang Asli untuk diberi bantuan awal dan makanan.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan sedar di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dekat Tapah sebelum dibawa ke rumah penemu untuk diberikan bantuan awal dan makanan.
“Pihak polis membuat pengesahan penemuan tersebut dan menguruskan tindakan lanjut termasuk pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa,” katanya.
Menurut Mohd Alwi, sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada 24 Mei ditamatkan secara rasmi.
“Polis Diraja Malaysia Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, NGO, sukarelawan, masyarakat Orang Asli dan orang awam yang telah memberikan kerjasama sepanjang operasi ini berlangsung,” katanya.
- Bernama
