Impian Malaysia untuk kembali menjuarai acara beregu lelaki Terbuka Indonesia akhirnya menjadi kenyataan selepas 18 tahun apabila pasangan profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, muncul juara di Istora Senayan hari ini.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh debaran, pasangan negara yang menghuni ranking kelapan dunia itu bangkit selepas tewas pada set pertama sebelum mencatat kemenangan 13-21, 21-18, 21-10 ke atas wakil tuan rumah, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin, dalam masa 49 minit.
Kali terakhir wakil negara meraih kejuaraan itu ialah menerusi gandingan Zakry Abdul Latif dan Fairuzizuan Tazari pada tahun 2008.
Sebagai pilihan ketujuh kejohanan, Sze Fei dan Nur Izzuddin berdepan permulaan yang sukar apabila gagal mengekang permainan agresif pasangan muda Indonesia yang turut mendapat sokongan padu ribuan penyokong tuan rumah.
Namun, mereka berjaya memperkemaskan corak permainan pada dua set berikutnya untuk memastikan trofi berprestij itu menjadi milik Malaysia.
[Berita penuh menyusul]
