Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syam Ghaz dilantik ketua pengarah Jkom Madani keempat
1

Aktivis politik Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (Jkom) yang keempat untuk pentadbiran Madani, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Komunikasi, sebentar tadi.

Pelantikan itu bagi menggantikan posisi ditinggalkan pendahulunya Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatannya selepas lebih setahun menerajui agensi itu.

“Saya cuma nak ambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ismail yang dipanggil untuk menggalas tugas baru oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Selamat datang kepada saudara Syam Ghaz yang dipilih untuk menerajui Jkom,” kata Fahmi.

Syam merupakan seorang aktivis politik dari Kelantan yang bermula di era Pakatan Rakyat ketika negeri itu di bawah kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dia menyertai Amanah sekitar 2015 dan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 (2018) di DUN Apam Putra, Kelantan.

Dia kemudian memilih berhijrah ke PKR dan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai pada PRU15.

Ismail Yusop.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Jkom, Syam merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Syam menggantikan Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatan pada Jumaat lalu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ismail yang lebih dikenali sebagai Tok Abah mengesahkan dia menamatkan perkhidmatan di Jkom kerana diberikan tugasan baru oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia merupakan individu ketiga menerajui agensi berkenaan sejak pentadbiran kerajaan Madani mengambil alih Putrajaya.

Ismail dilantik sebagai ketua pengarah Jkom pada Januari tahun lalu bagi menggantikan Mohd Khairuddin Othman.

Mohd Khairuddin, yang juga Setiausaha PKR Selangor, mula menerajui Jkom pada 1 Mac 2023 selepas menggantikan Mohammad Agus Yusof, penyandang pertama jawatan itu di bawah pentadbiran kerajaan Madani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS