mk-logo
Berita
Gempa bumi kuat di Mindanao, Sabah rasa gegaran
Diterbitkan:  Jun 8, 2026 10:07 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pada 7.37 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan gempa itu berlaku pada kedalaman 50 kilometer (km) pada jarak 97 km selatan dari Koronadal City, Filipina.

Gegaran dilaporkan turut dirasai di Sabah melibatkan Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya.

“MetMalaysia sedang memantau perkembangan kejadian ini,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd HishamMohd Anip dalam kenyataan berasingan berkata berdasarkan analisis, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata orang awam di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ini dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan serta menghubungi talian hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS