Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berseloroh mengenai kedudukan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.
“Teo Nie Ching duduk sebelah boleh ya,” katanya dalam nada berseloroh.
Walaupun Anwar tidak menyebut isu secara langsung ketika menyapa pemimpin DAP itu namun perdana menteri dilihat menggunakan kesempatan tersebut untuk menegur cara kempen susulan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan.
“Sekarang ini jadi isu, tapi saya rasa umumnya masyarakat di negara kita matang. Negara ini tertegak dengan beberapa prinsip utama dalam perlembagaan.

“Pimpinan silih berganti, tetapi kerangka dasar yang termaktub dalam perlembagaan itu menjadi pegangan. Itu kalau ikut undang-undang dikatakan itu yang prinsip, prinsip asas kalau dalam hukum, iaitu prinsip-prinsip dalam perlembagaan.
“Jadi soal siapa yang harus berdamping dengan kita dalam kerajaan, dalam kementerian, dia harus mewakili semua sosok pelbagai kaum, pelbagai agama,” kata Anwar.
Kenyataan itu hadir selepas Menteri Besar Johor sementara, Onn Hafiz Ghazi, menarik perhatian apabila memberi jaminan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas PRN akan datang.
Pengerusi BN Johor itu berkata jaminan berkenaan dibuat selaras dengan pendirian seluruh 26 bahagian Umno Johor serta parti komponen BN negeri itu yang mahu bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Onn Hafiz, pendirian tersebut turut disampaikan kepada Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
"Dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor selaku Pemangku Sultan Johor, insya-Allah apabila kerajaan kita ditubuhkan semula dan jika kita diberikan mandat untuk memimpin sekali lagi, kita tidak akan sekali-kali bersama DAP dalam kerajaan BN,” tegasnya pada majlis pelancaran jentera PRN Johor ke-16 di Stadium Educity, Kota Iskandar, Johor Bahru, semalam.
Onn Hafiz turut menegaskan dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook kemudian membalas kenyataan Onn Hafiz dengan menyindir pihak tertentu dalam Umno kerana enggan mengadakan kerjasama politik dengan DAP.

Menteri pengangkutan itu berkata sedangkan Ahmad Zahid sendiri duduk bersebelahan dengannya setiap minggu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Sementara itu, Anwar semasa berucap hari ini mengingatkan meskipun majoriti warga Malaysia terdiri daripada Melayu dan Bumiputera, dasar negara yang jelas tidak wajar dipertikai.
Tegas ahli parlimen Tambun itu, sistem dan amalan demokrasi di negara ini menuntut semua pihak menghormati pilihan rakyat.
“Oleh itu agak angkuh atau sombong untuk kita membuat keputusan menafikan hak mana-mana kaum atau parti untuk menyertai dan bersama dalam gagasan kerajaan.

“Ini saya tegaskan kerana dalam ketegangan dan kehangatan kempen politik ini kadang-kadang ada keterlanjuran. Saya harap itu satu keterlanjuran yang harus diperbetulkan kerana ini tidak beri mesej yang baik.
“Saudara, kita semua ada sentimen pendirian peribadi kita. Dibesarkan dalam suasana yang tersendiri. Ia juga mempengaruhi pandangan dan worldview atau weltanschauung atau tasawwur kita,” katanya lagi.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil sikap yang tidak manusiawi dalam menilai kaum atau parti lain.
Katanya, seseorang tidak memilih untuk dilahirkan sebagai Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, selain tidak memilih warna kulit atau identiti kaum yang diwakilinya.
“Sebab itu dalam Islam, soal menghormati kepelbagaian itu suatu prinsip. Itu disebut dalam Al-Quran sebagai suatu bukankah Allah jadikan kita pelbagai kaum, pelbagai agama agar kita menghormati perbedaan itu walaupun perbedaan itu kadang-kadang janggal buat kita.
“Sebab itu dia kata ada toleransi, ada kemajmukan, ada ikhtilaf, bukan saja istilah pandangan, tapi perbedaan ikhtilaf dari segi warna kulit kaum. Tapi semua itu untuk apa? Dikatakan untuk kita lita'arafu. Istilah lita'araf itu kalau kita faham, ia berbeza daripada sekadar toleransi.
“Kita yang popular, kalau kata untuk perpaduan kaum itu harus ada toleransi. Tapi tidak. Islam letak lebih atas daripada itu. Disebut lita'arafu. Istilah kalau Melayu kata yang lebih arif. Maknanya dia mengetahui, menghormati. Tidak hanya toleransi,” jelasnya.
