mk-logo
Berita
Gempa Mindanao: Pantai Timur Sabah terkawal, tiada kerosakan - bomba
Diterbitkan:  Jun 8, 2026 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan tiada sebarang kerosakan struktur atau peningkatan luar biasa paras air laut di pantai timur negeri itu setakat ini, susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Mindanao, Filipina pada 7.37 pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah memaklumkan pemantauan rapi di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk dan lokasi berisiko telah digerakkan serta-merta oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Menurut kenyataan itu, pemantauan itu dibuat susulan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) antara 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Hasil pemantauan yang dijalankan, laporan ini mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan atau insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat. Keadaan semasa adalah terkawal dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan berterusan dan berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan manakala maklumat mengenai situasi semasa akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS