Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa parti DAP tidak pernah dan tidak akan menganggotai pentadbiran kerajaan negeri Johor.
Dalam hantaran terbaru di Facebook, hari ini, katanya, ini hanya boleh menjadi kenyataan jika rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang dipimpinnya.
“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.
“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026,” katanya.
Semalam, Onn Hafiz berkata, bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti gabungan itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katantya, keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian seluruh 26 bahagian Umno Johor serta parti-parti komponen BN di negeri itu yang mahu bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Malah, katanya dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.
Pada masa sama, Onn Hafiz juga menolak tanggapan bahawa pendirian tersebut bermotifkan perkauman.
“Di Johor, kita ada cara kita. Ini Umno Johor. Ini BN Johor. Ini Bangsa Johor,” katanya.
Dia juga mengingatkan bahawa BN, khusususnya Umno yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP di peringkat pusat dan kerajaan negeri Johor ialah dua entiti yang berbeza.
Dakwanya, di peringkat pusat, BN bekerjasama dengan PH selepas PRU15 atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, apabila tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan pusat.
“Keadaan itu tidak sama dengan Johor.
“Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat. Alhamdulillah, Kita telah membentuk kerajaan negeri yang stabil. Kita telah membuktikan prestasi.
“Dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri,” katanya.
