Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Setiausaha Agung Umno, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid bertanding kerusi negeri dan Parlimen.

Azmi adalah Ahli Parlimen Padang Besar manakala Radzi adalah Ahli Parlimen Kangar.

shahidan kassim "Cadangan mereka untuk dua-dua, di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Parlimen. Mereka adalah menteri dari Perlis yang diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan sangat berwibawa," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat Anugerah Belia Negara 2007 semalam.

Shahidan Kassim berkata, beliau tetap akan mencadangkan nama Radzi dan Azmi Khalid sebagai calon kerana kedua-dua mereka sangat berwibawa.

Sehubungan itu, Pengerusi Umno Perlis itu berkata beliau tidak pernah memusuhi sesiapa dan tidak pernah mencari musuh, demikian menurut Bernama.

Mengenai hubungannya dengan kedua-dua pemimpin itu, Shahidan berkata berkata mereka nenghadiri majlis yang dianjurkan olehnya dan begitu juga sebaliknya, dan yang paling penting beliau tidak mahu memusuhi sesiapa.

"Saya tak pernah kecewa kalau orang tegur. Saya cintakan semua penduduk Perlis dan semua rakyat Malaysia," katanya.

Pengumuman terbuka

Shahidan berkata sekiranya beliau dianggap sebagai tidak sependapat dengan Azmi dan Radzi, kenapa pula beliau mahu mencadangkan nama mereka untuk bertanding bagi kerusi DUN dalam pilihanraya akan

datang.

Menrutnya, apapun sebelum ini, kedua mereka mungkin sedang beremosi.

Katanya, mereka mempersoalkan kenapa beliau membuat pengumuman untuk mencalonkan nama mereka secara terbuka.

Namun menurutnya, jika dibuat secara tertutup atau terbuka sekalipun, mereka berdua tetap akan marah.

Shahidan berkata, kebiasaannya tiga nama akan dicadangkan bagi setiap kawasan yang ditandingi, namun keputusan berapa orang calon yang perlu dicadangkan akan mengikut arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri.

Ditanya sama ada beliau sendiri akan bertanding, Shahidan berkata beliau tidak tahu sama ada akan bertanding ataupun tidak.

Tidak pasti bertanding

"Kalau nama saya dicalonkan saya akan bertanding. Di Parlimen boleh di DUN boleh dan saya tak akan jatuhkan orang. Saya akan menaikkan orang.

"Tak ada masalah tak jadi MB (Menteri Besar) ke, tak jadi calon pun tak apa. Saya akan tetap pastikan parti saya menang. Macam anda semua, tak jadi pemberita pun tak apa, jadi pemberita pun tak apa. Tak ada beza," katanya.

Shahidan berkata selagi beliau mempunyai semangat juang yang tinggi, beliau akan tetap berjuang dengan tenaga yang kuat dan meletakkan keazaman supaya BN menang dalam pilihanraya.

Beliau juga berjanji akan menentang mereka yang menentang BN sama ada musuh mahupun kawan.

Mengenai kononnya bahawa Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan bertanding di Perlis, beliau mengakui pernah bercakap mengenai perkara itu.

"Bagi saya dia pemimpin yang mempunyai kaliber yang unik, jadi kita tak mau pemimpin seperti Noor Yakcop hilang begitu sahaja. Saya kata boleh datang berunding di Perlis kalau tak ada tempat. Perlis cukup terbuka," katanya.