Setiausaha Agung DAP Anthony Loke akan mempertahankan kerusi Chennah pada pilihan raya negeri Negeri Sembilan akan datang, sekali gus menamatkan khabar angin kononnya dia merancang berpindah ke Pulau Pinang.
Loke berkata DAP negeri memutuskan untuk mempertahankan semua 11 kerusi penyandang parti itu dan membantu sekutunya dalam Pakatan Harapan memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi lain, yang membolehkan mereka membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri.
"Jadi, kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada Pakatan Harapan Negeri Sembilan. DAP akan memainkan peranannya dengan sepenuh hati untuk memenangi semua kerusi yang kita tandingi dan mencapai aspirasi serta objektif tersebut.
"Sebagai setiausaha agung parti dan juga pengerusi DAP Negeri Sembilan, saya telah membuat keputusan dan menerima sokongan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti serta jawatankuasa DAP negeri untuk mengetuai kempen pilihan raya ini dengan bertanding dalam pilihan raya negeri," kata Loke pada sidang media di Seremban pagi tadi, yang diadakan selepas mesyuarat jawatankuasa DAP negeri.

Sebelum ini, media berbahasa Cina melaporkan spekulasi Loke mungkin bertanding di Pulau Pinang dan mengambil alih kepimpinan negeri itu daripada Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Perkara itu kononnya sebahagian daripada rancangan untuk menangani perang dalaman yang semakin meruncing antara puak dipimpin Chow dan Penasihat DAP Lim Guan Eng, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang.
Loke menjadi Adun di Negeri Sembilan sejak 2004 apabila memenangi kerusi Lobak. Pada pilihan raya umum 2013, dia bertukar kerusi dan memenangi Chennah, sebelum berjaya mempertahankannya dalam dua pilihan raya berikutnya.
Sementara itu, ketika bercakap mengenai PRN Negeri Sembilan akan datang, Loke yang juga menteri pengangkutan menyatakan keyakinan Harapan mampu memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri sendiri.
Dia menyalahkan Umno atas pilihan raya mengejut itu, dengan berkata kepimpinan Harapan negeri terpaksa mengembalikan mandat kepada rakyat selepas Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
Walaupun Harapan dan BN mempunyai persetujuan di peringkat persekutuan supaya Adun Umno terus menyokong kerajaan negeri, termasuk dalam meluluskan cadangan belanjawan tahunan negeri, Loke berkata ia satu risiko besar untuk ditanggung.
"Jadi, langkah terbaik untuk kita adalah mengembalikan mandat kepada rakyat dan mengadakan pilihan raya supaya mereka boleh memutuskan parti mana yang akan mempunyai majoriti," katanya.
