Isu sama ada Umno merupakan sebuah parti yang rasis terus mencetuskan perbezaan pandangan yang ketara antara rakan sekutunya, MCA, dan penganalisis akademik.
Bagi Presiden MCA, Wee Ka Siong, keputusan BN Johor, khususnya Umno untuk bergerak solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang adalah satu keputusan politik yang matang dan bukannya satu tindakan rasis.
Kenyataan ini hadir bagi menyelar tulisan terkini tokoh akademik, Tajuddin Rasdi, yang mendakwa tindakan BN, khususnya Umno bergerak bersendirian sebagai berbaur perkauman.

"Menuduh Onn Hafiz (Ghazi) rasis hanya kerana BN Johor mahu bertanding dan bergerak secara solo adalah tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak jujur dari segi politik.
"BN Johor bergerak solo bukan tindakan rasis. Itu keputusan politik oleh gabungan negeri yang sudah ada mandat sendiri, rekod sendiri dan tanggungjawab sendiri kepada rakyat Johor," katanya.
Pensyarah itu dalam satu hantarannya berkata pengerusi Umno Johor itu menjadi contoh utama keperibadian rasis serta seorang pelampau yang tidak layak dipanggil sebagai rakyat Malaysia.
“Sebagai seorang ahli politik, bagaimana dia boleh memerintah sebuah negeri apabila berpuluh-puluh ribu orang Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum lain menyokong DAP.
“Politik dan kerohanian jenis ini seperti yang dipamerkan secara memalukan oleh seorang menteri besar adalah perkara yang merosakkan negara tercinta kita,” katanya.

Semalam Onn Hafiz berkata, dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada terpaksa "duduk semeja" dengan DAP selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Susulan kenyataan itu, pelbagai pihak, khususnya pemimpin DAP menyelarnya dan menganggap kenyataan tersebut berbaur perkauman.
'DAP bukan kaum Cina'
Mengulas lanjut, Wee berkata, bahawa penolakan terhadap DAP tidak sepatutnya disamakan dengan sikap rasis kerana DAP merupakan sebuah parti politik dan bukannya mewakili mana-mana kaum.
Dia turut mempersoalkan jika penolakan terhadap DAP dianggap rasis, maka tindakan DAP menolak MCA, Umno, MIC, PAS atau Bersatu selama ini juga perlu dikategorikan dalam naratif yang sama.
Sebagai bukti penolakan politik, dia mengimbas keputusan PRN Sabah baru-baru ini apabila DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk di kawasan bandar yang mempunyai ramai pengundi Cina.

"Pengundi Cina di Sabah tolak DAP. Jadi adakah kita mahu kata pengundi Cina di Sabah pun rasis terhadap DAP? Sudah tentu tidak. Mereka buat pilihan politik.
"Johor bukan Putrajaya. Kerjasama di peringkat pusat selepas PRU15 tidak boleh dipaksa bulat-bulat ke dalam PRN negeri," tambahnya sambil menegaskan BN Johor mempunyai hak yang sama untuk menentukan haluan sendiri.
Onn Hafiz pemimpin inklusif
Dalam pada itu, Wee mempertahankan pendekatan pentadbiran Menteri Besar Johor Onn Hafiz dengan menyifatkan pemimpin itu sebagai antara tokoh paling tidak rasis dan sentiasa melihat rakyat negeri melalui konsep 'Bangsa Johor'.

Sehubungan itu, dia menggesa semua pihak agar matang dalam berpolitik dan tidak sewenang-wenangnya menukar setiap penolakan politik kepada tuduhan perkauman.
Sementara itu bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek mempertahankan pendirian Onn Hafiz yang menolak mentadbir bersama DAP.
Chua berkata, kenyataan Onn Hafiz tidak harus dilihat secara terpisah daripada konteks keseluruhan.

“Beliau sebenarnya mengatakan BN mahu bergerak solo berdasarkan maklum balas daripada akar umbi.
“Jadi, jika BN bertanding sendiri dan akhirnya gagal memperoleh majoriti, BN tidak akan bekerjasama dengan DAP dan sanggup berada di pihak pembangkang.
“Bagi saya kenyataan itu penting. Namun, lebih penting ialah konteks kenyataan itu dibuat,” katanya yang dpetik FMT.
Kami tolak DAP, bukan masyarakat Cina' - Veteran Umno
Dalam perkembangan berkaitan Veteran Umno menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum atau bangsa lain untuk bertanding dalam pilihan raya.
Sebaliknya, kata Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, pendirian politik mereka hanyalah melibatkan penolakan terhadap DAP secara spesifik.
Katanya, tuduhan yang mendakwa Umno sombong dan angkuh kerana enggan bekerjasama dengan kaum lain dalam pilihan raya adalah tidak benar serta tidak berasas.

"Umno tidak pernah menafikan hak kaum dan bangsa lain untuk bertanding dalam pilihanraya. Sejak zaman Perikatan Umno bersama dengan MCA dan MIC bertanding dalam pilihan raya.
“Di zaman kecemerlangan BN, Umno bersama dengan 13 parti meneruskan tradisi kerjasama itu meliputi parti-parti dari Sabah dan Sarawak tanpa mengira kecil atau besar," katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas mengenai situasi politik semasa, Mustapha menjelaskan bahawa Umno sebelum ini telah cuba bekerjasama dengan DAP di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan atas nama Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, dia mendakwa kerjasama tersebut tidak mempunyai keserasian sehingga mencetuskan keadaan yang tidak stabil kepada negara kerana mendakwa DAP tidak mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui bersama sebelum pembentukan kerajaan berkenaan.

Sambil memperjelaskan status penglibatan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, dia berkata kehadiran Umno membantu kempen adalah atas dasar menghormati struktur Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, dan bukannya sokongan mutlak kepada DAP.
"Sebab itu Umno tidak akan bersetuju untuk bersama dengan DAP dalam pilihan raya. Apa yang berlaku dalam PRK Kuala Kubu Baharu ialah Umno bekerjasama dengan PH dan bukannya DAP sebagai menghormati kerjasama diperingkat pusat," katanya lagi.
Mustapha turut mengingatkan semua pihak agar tidak memutarbelitkan sejarah perjuangan dan kerjasama politik parti itu dengan kaum-kaum lain di Malaysia sejak awal kemerdekaan lagi.
