Pemimpin PKR hari ini menyangkal dakwaan bekas timbalan presiden itu, Rafizi Ramli yang mengatakan parti itu bakal lenyap selepas era presidennya, Anwar Ibrahim.
Naib ketua wanitanya, Loh Ker Chean berkata sejarah membuktikan PKR bukan sebuah parti yang bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya telah melahirkan ramai pemimpin politik.
"Asas perjuangan PKR bukanlah seorang pemimpin, tetapi cita-cita reformasi yang berteraskan keadilan, demokrasi, tadbir urus yang baik, pembanterasan rasuah serta peluang yang lebih saksama untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya merupakan simbol dan wajah yang menggerakkan dan mencetuskan perjuangan tersebut selama lebih dua dekad.
"Namun, simbol tidak harus dikelirukan dengan institusi. Seperti mana mana-mana organisasi politik yang matang, pemimpin akan datang dan pergi, tetapi nilai dan perjuangan mesti diteruskan," kata Loh dalam kenyataan.

Menurutnya proses pembinaan kepimpinan bukanlah sesuatu yang berlaku dalam satu pilihan raya atau satu pemilihan, tetapi merupakan proses yang berterusan.
Malah, Loh turut mengingatkan bahawa Rafizi juga merupakan "produk PKR".
"Hakikat bahawa begitu ramai tokoh politik yang pernah dibentuk dan dibesarkan dalam PKR terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara membuktikan bahawa parti ini sentiasa menjadi medan melahirkan bakat dan kepimpinan.
"Dalam masa yang sama, PKR tidak boleh terlalu asyik membincangkan soal individu yang bakal memimpin pada masa hadapan sehingga melupakan tanggungjawab utama kepada rakyat hari ini," katanya.
Lahirkan pemimpin generasi baru
Sementara itu, Ketua PKR Cabang Puchong, Zaihasri Jaafar, berkata adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah PKR gagal melahirkan generasi kepimpinan baru.
Hakikatnya, katanya, sejak ditubuhkan pada 1999, PKR telah melahirkan ramai tokoh yang suatu ketika dahulu merupakan aktivis muda, termasuk Menteri Besar Selangor sekarang, Amirudin Shari.
"Atas sebab itu, persoalan masa depan PKR tidak boleh dilihat semata-mata melalui lensa siapakah individu yang bakal menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Persoalan yang lebih penting ialah sama ada nilai-nilai Reformasi terus dipertahankan, institusi parti terus diperkukuh dan generasi pemimpin baru terus diberikan ruang untuk berkembang.
"Dalam hal ini, saya yakin PKR berada di landasan yang betul," katanya dalam kenyataan.
Malam tadi, Rafizi yang kini merupakan pengasas Bersama berkata dia berpendapat PKR berisiko besar untuk lenyap selepas era Anwar jika parti itu terus mengekalkan struktur birokratik lama dan gagal melakukan pembaharuan.
Rafizi menegaskan bahawa fokus PKR kini terlalu berpaksikan kepada kelangsungan politik Anwar semata-mata.
