Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS hentikan kerjasama politik dengan Bersatu
Diterbitkan:  Jun 8, 2026 11:30 PM
Dikemaskini: 4:01 PM

PAS malam ini memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Perkara itu dinyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Kata Abdul Hadi, mesyuarat malam ini memperakukan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.

"Kedua meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

"Ketiga, menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

"Keempat meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.

"Kelima menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS," katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan beberapa jam sebelum mesyuarat berlangsung pada jam 8 malam ini, pemimpin PAS memberi bayangan hubungan dengan Bersatu akan berakhir meskipun Presidennya Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan hubungan.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dalam hantaran di Facebooknya berkata "kepercayaan yang terguris bukan mudah dipulihkan".

Selain itu, dia turut membangkitkan krisis politik di Perlis apabila Bersatu dikatakan tergesa-gesa menghantar nama calon menteri besar bagi menggantikan pemimpin PAS Shukri Ramli.

Sebelum ini Abdul Hadi berkata Majlis Syura Ulama PAS sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.

Keputusan malam ini dilihat satu tamparan buat Bersatu ketika Muhyiddin semalam mengulangi tekad untuk terus memelihara hubungan baik antara parti itu dengan PAS dalam PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS