Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | BAM harus cemburu lihat mentaliti FeiDin

ULASAN SUKAN | Sekalung tahniah buat pasangan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang kembali mencetus sinaran dalam kem badminton negara.

Aksi garang pasangan beregu lelaki nombor tujuh dunia itu seperti memberi isyarat awal mereka mahu mendominasi pentas saingan antarabangsa selepas memperagakan aksi konsisten sepanjang tahun ini.

Kelmarin mereka menunjukkan mentaliti ampuh kuat untuk bangkit gah menewaskan pasangan tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10 pada final Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta.

Ia juga sekali gus menamatkan kemarau panjang tanpa gelaran untuk negara dalam beregu lelaki sejak kali terakhir ia dilakar pada 2008.

Ganjaran atas keringat oleh pasangan profesional itu ialah hadiah AS$107,300 (RM432,443) sebagai pemenang. Ia adalah habuan terbesar dalam kalendar Jelajah Dunia BWF bagi acara Siri Super 1000.

Rasanya kejayaan FeiDin harus menerbitkan sifat cemburu dalam kalangan beberapa bintang negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Mereka semua tumbang satu persatu dalam edisi Jelajah Dunia BWF itu.

Pemain itu berada dalam ‘kelompok mewah’ yang difaham diberikan segala kelengkapan membabitkan persiapan ke pertandingan. Ringkasnya, BAM memberi anak didik mereka hampir apa saja – ‘A’ hingga ‘Z’.

Dari perspektif komuniti badminton negara, mereka boleh membuat andaian betapa prestasi pemain elit tiba-tiba bertukar hambar sejak menamatkan cabaran Piala Thomas dan Piala Uber di Horsens, Denmark pada 3 Mei lalu.

Penyelamat maruah negara

Apakah minda mereka terganggu? Mungkinkah ada dalam kalangan mereka kurang berpuas hati dengan isu penginapan di hostel di Akademi Badminton Malaysia?

Atau pun ia juga ada kaitan dengan pihak pengurusan pasukan yang mahu memecahkan pasangan beregu utama untuk mencari ranking mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2028 seperti mana dibicarakan beberapa hari lalu?

Kita cuma boleh membuat andaian. Penulis juga tidak mahu membicarakan siapa pemain terbabit.

Apa yang nampak pasti, prestasi kebanyakan pemain BAM agak merosot kebelakangan ini. Perwatakan garang mereka di gelanggang pun agak terhad.

Tambahan pula sepanjang Mei sehingga awal Jun ini, tiada seorang pun wakil yang mampu layak ke final di pentas jelajah BWF.

Sekali lagi FeiDin membawa sinaran buat kem negara apabila muncul naib juara di Masters Malaysia pada bulan lalu. Merekalah yang menjadi penyelamat maruah negara.

Letih sangatkah pemain negara dari BAM selepas menyudahkan cabaran masing-masing dalam kancah Piala Thomas dan Piala Uber sehingga mereka hanya mampu layak ke suku akhir pada edisi kali ini?

Sebenarnya rentak sumbang mereka mula disaksikan di Terbuka Thailand, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Oh, mungkin juga ada pemain tonggak BAM yang dilanda isu kecederaan. Itu pun kita kena ambil tahu juga. Krisis sebegitu memang sering berlaku. Hal itu mungkin kerana pemain bintang kita terpaksa beraksi dalam banyak kejohanan.

Pearly Tan misalnya dilaporkan cedera bahagian belakang. Cuma dalam Terbuka Indonesia baru-baru ini ada nampak petanda pemulihan apabila dia dan pasangannya, M Thinaah, berjaya melangkah ke suku akhir.

Berpusing-pusing di situ saja

Kita juga mahu bertanya, apakah barisan elit BAM itu mahu menyimpan tenaga bagi menyahut cabaran Sukan Asia yang bakal berlangsung di Nogoya-Aichi, Jepun pada 19 Sept hingga 4 Okt depan?

Kalau benar macam itu, baguslah.

Majoriti mereka mungkin tidak mahu mengerah tenaga berlebihan dalam Jelajah Dunia BWF selepas ini. Sebaliknya mahu memberi fokus kepada persiapan bagi temasya terbesar benua ini.

Segala-galanya untuk misi memburu pingat emas.

Begitu juga dengan tumpuan kepada Kejohanan Dunia di New Delhi, Ogos ini.

Sebenarnya, berbanding dengan kuasa dunia lain seperti China, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, skuad negara kita kekurangan kelompok pemain terbaik yang kemampuan masing-masing hampir sama.

Cuma beregu lelaki kita sahaja nampak ada persaingan kuat dalam kalangan mereka.

Itu antara sebab kenapa pemain dari negara lain – khasnya China dan Korea Selatan – nampak masih tekal selepas Piala Thomas atau Piala Uber.

Mereka berjaya memenangi gelaran, sekurang-kurangnya satu daripada empat siri super terkini.

Mahu tak mahu, kita pula nampak berpusing-pusing dan kembali menyandarkan harapan kepada pemain bintang negara. Ia termasuk beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, srikandi beregu wanita, Pearly-Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Di Sukan Asia nanti, itulah percaturan yang bakal berlaku. Hal itu kerana hanya tiga acara beregu menjadi pertaruhan terbaik untuk kita.

Lupakan saja acara perseorangan lelaki dan wanita kerana kelompok kecil itu difahamkan masih mencari pendedahan di pentas antarabangsa.

Kita kembali kepada cerita FeiDin. Bicaranya lebih seronok dan menyedapkan hati. Ia adalah story of the day bagi sukan tanah air pada saat ini.

Ada peranan kecil

Pada enam bulan pertama tahun ini, pasangan tersebut sudah mengutip hadiah RM767,982 dan angka RM1 juta sudah tidak jauh daripada cengkaman mereka.

Malah, ia mungkin dapat dituai andai mereka meneruskan rentak sama menjelang Terbuka Jepun (pada 14-19 Julai) dan Terbuka China (21-26 Julai).

Awal tahun ini, FeiDin menerima AS$39,500 atas kejayaan mereka muncul sebagai juara Masters Indonesia dan AS$19,00 selaku naib juara Masters Malaysia.

Apa lebih penting selepas ini ialah mereka harus lebih tenang dan mengekalkan fokus pada cabaran yang berikutnya di Jelajah Dunia. Sudah tentu mereka akan menjadi tumpuan yang mahu ditumbangkan oleh setiap lawan.

Andai kekuatan mentaliti dapat dikekalkan dalam setiap perlawanan, tiada yang mustahil bagi menambahkan lagi koleksi kejuaraan mereka.

Pasangan itu juga ada potensi mengintai peluang untuk memburu pingat emas Sukan Asia dan juga Kejohanan Dunia nanti.

Kita – sebagai penyokong – sudah tentu juga ada peranan kecil iaitu memberikan sokongan moral secara berterusan kepada pasangan elit berkenaan.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS