PAS Pahang akan terus menggunakan slogan Perikatan Nasional (PN) Teraju Pahang walaupun hubungan politik antara parti itu dan Bersatu sudah berakhir secara rasmi, Isnin lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, walaupun misi menerajui Pahang kini menjadi agenda PAS, belum ada ketetapan daripada pimpinan PAS Pusat untuk menyingkirkan nama PN dalam slogan berkenaan.
"PAS Pahang masih lagi akan menggunakan PN untuk gerak kerja pilihan raya selagi belum ada keputusan untuk 'singkirkan' nama itu.
"Keputusan menamatkan hubungan dengan Bersatu dibuat menerusi saluran organisasi parti yang sah, termasuk ketetapan Majlis Syura Ulama selepas meneliti dinamika politik semasa negara.
"Kami juga yakin keputusan itu dibuat demi maslahat perjuangan Islam, agenda penyatuan ummah, serta masa depan rakyat secara keseluruhannya," katanya kepada Malaysiakini di Kuantan, Pahang, hari ini.
Bukan noktah perpaduan ummah
Dia bagaimanapun menegaskan perkara itu tidak bermaksud usaha penyatuan ummah sudah berakhir.
Katanya, langkah menghentikan kerjasama dengan Bersatu tidak seharusnya dilihat sebagai titik noktah kepada usaha menyatukan umat.
"Sebaliknya, ia membuka ruang kepada pembentukan pendekatan politik lebih strategik dan berkesan dalam menghimpunkan kekuatan umat Islam serta rakyat yang mahukan perubahan politik lebih baik menjelang pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) ke-16," jelasnya.
Zulfadli yang pernah menjadi calon untuk kerusi DUN Semambu pada PRU ke-15 menambah, pendirian PAS Pusat untuk meneroka persefahaman politik baharu dan kerjasama pilihan raya lebih dinamik amat bertepatan dengan situasi politik semasa.
Langkah ini, katanya, penting bagi memperkukuhkan blok pembangkang dalam mendepani apa yang disifatkan sebagai kegagalan kerajaan sedia ada menguruskan ekonomi, kos sara hidup, dan kebajikan rakyat.
"Keputusan kepimpinan pusat itu menjadi pemangkin dan suntikan semangat baharu untuk jentera Pemuda PAS Pahang melangkah lebih agresif.
"Kita tidak akan menoleh ke belakang, malah komited sepenuhnya untuk merealisasikan 'Misi PAS Teraju Pahang' bagi mengambil alih pentadbiran negeri daripada kerajaan sedia ada pada PRU akan datang," tambahnya.
