Keputusan kepimpinan PAS Pusat untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu tetapi pada masa yang sama enggan melepaskan jawatan peneraju dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai satu sandiwara politik yang memuakkan dan penghinaan terhadap rakyat.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, situasi janggal itu tidak ubah seperti pasangan suami isteri yang sudah melafazkan talak di kedai kopi, tetapi masih mahu tinggal serumah dan berebut kain selimut semata-mata kerana gilakan harta sepencarian iaitu jawatan, kuasa, dan pengaruh pentadbiran.
"Rakyat fikir soal masa depan negara. Mereka masih sibuk drama politik siapa nak tidur bilik mana.
"Kalau benar ada prinsip, keluar terus dari PN. Jangan jadi parti yang mahu makan di dua meja dalam satu masa.
"Takkan PAS nak tunggu sampai terlondeh kain pelikat dan tercabut jubah ketika berebut kain selimut baru nak terjun ikut tingkap," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mahfuz berkata, keadaan itu memperlihatkan taktik politik oportunis dan mendakwa rakyat melihatnya sebagai satu bentuk penipuan kosmetik.
“Jika benar PAS merasakan Bersatu tidak lagi relevan demi penyatuan ummah, mereka sepatutnya keluar dari PN secara terhormat.
“Keengganan meletak jawatan pengerusi dan mengosongkan struktur PN membuktikan bahawa prinsip perjuangan sentiasa tunduk di bawah ‘kepentingan survival poket politik,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz mendakwa bekas partinya itu memperbodohkan ahli akar umbi dengan menggunakan retorik agama serta hujah maslahah sebagai benteng untuk menghalang ahli bawahan daripada mempersoalkan tindakan pimpinan.
“Rakyat marhaen sudah letih melihat nama Islam diperalatkan untuk menghalalkan strategi politik yang tidak berintegriti.
“Cukuplah memperbodohkan rakyat. Kami mendesak semua parti politik untuk menghentikan drama 'perkahwinan plastik' ini.,” katanya.
Bekas ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, PAS sekarang cuba memaksa Bersatu mengambil langkah untuk menyingkirkan mereka daripada PN.
Tambahnya, para pemimpin politik PN terus sibuk bermain ‘wayang’ bagi memastikan kedudukan mereka selamat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), ketika rakyat masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
“Sekiranya sudah tidak sehaluan, berpisahlah sebagai jantan dan bermaruah.
“Jangan heret masa depan negara dan rakyat ke dalam bilik tidur politik yang penuh dengan kepura puraan,” katanya lagi.
