Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas naib presiden Umno Isa Samad.
Penarikan balik itu berkuat kuasa pada 8 Jun lalu susulan sabitan kesalahannya yang menyebabkan dia menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Menurut Jabatan Perdana Menteri, keputusan itu selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika penerima disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
Ia juga selaras titah Agong berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara.
Isa mula menjalani hukuman penjara sejak Feb lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan rasuah dan hukuman penjara terhadapnya pagi ini.
Bekas menteri pusat dan bekas menteri besar Negeri Sembilan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.
Dia kemudian dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan pada 2024.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Nordin Hassan kemudian membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa, dengan memutuskan Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Persekutuan mendapati dapatan hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) disokong oleh bukti dan selaras dengan undang-undang dan unsur kesalahan bawah Seksyen 16a(A) Akta SPRM 2009 (menerima rasuah) dibuktikan bagi kesemua sembilan pertuduhan terhadap responden melampaui keraguan munasabah.
