Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas SU Muhyiddin dedah tiga syarat saat akhir PAS sebelum ‘cerai’
Diterbitkan:  Jun 11, 2026 11:22 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

PAS meletakkan antara syarat mahu Bersatu mencari jalan untuk berbaik semula dengan ahli-ahli parti itu yang dipecat parti itu demi Perikatan Nasional, dedah orang kepercayaan rapat kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Marzuki Mohamad berkata anggota majlis tertinggi PAS Annuar Musa menyampaikan perkara itu semasa pertemuan dengan Muhyiddin pada 4 Jun lalu, dan kemudiannya dalam surat daripada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 6 Jun.

“Antara perkara lain yang disentuh ialah keperluan untuk Bersatu berbaik dengan kumpulan Reset.

“Saya sebutkan kepada Annuar luka masih berdarah. Bukan mudah untuk Bersatu menerima kumpulan ini.

“Tetapi saya katakan time heals. Masa akan merawat luka. Berilah sedikit masa,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, dedahnya PAS juga mengemukakan dua syarat utama sebagai talian hayat terakhir untuk mengekalkan kerjasama politik mereka dalam gabungan tersebut.

Bekas setiausaha sulit kanan kepada Muhyiddin berkata, PAS menuntut supaya Bersatu membersihkan persepsi negatif terhadap parti itu dan mesti menerima penyertaan parti-parti lain ke dalam PN.

Bersatu mesti duduk semeja dengan kumpulan Reset

Annuar kemudian mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa dia bertemu Muhyiddin. Portal itu juga menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan komen.

Marzuki berkata Muhyiddin kemudian membalas surat kepada PAS pada 7 Jun, menyatakan Bersatu bersedia mempertimbangkan tuntutan parti Islam itu tetapi ia perlu melalui proses mesyuarat.

Tegasnya, Bersatu mempunyai tertib parti yang memerlukan sebarang keputusan penting diputuskan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi PN.

Katanya, syarat-syarat itu tidak jauh berbeza dengan apa yang disampaikan oleh Annuar, dalam satu pertemuan khas di kediaman Muhyiddin pada 4 Jun lalu.

"Saya jelaskan (kepada wakil PAS) kesediaan Bersatu untuk menimbangkan ketiga-tiga syarat PAS. Saya memberi bayangan bahawa ketiga-tiga syarat tersebut tidaklah terlalu berat untuk dipenuhi oleh Bersatu," tambah Marzuki.

Keputusan drastik PAS

Marzuki berkata, meskipun proses rundingan dan kesediaan untuk bertolak ansur telah dizahirkan oleh pucuk pimpinan Bersatu, keadaan berubah sepenuhnya.

“Pada keesokannya (8 Jun 2026), Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Saya menerima keputusan PAS dengan hati terbuka jika itu adalah kehendak PAS,” katanya. Sambil menambah setiap parti politik mempunyai pertimbangan untung rugi masing-masing dalam menentukan hala tuju.

"Saya ada ramai sahabat dalam PAS. Walaupun hubungan politik telah putus, harapnya hubungan persahabatan tidak putus," katanya lagi.

Sebelum konflik ini memuncak, hubungan kedua-dua parti teras Melayu-Islam itu dilaporkan tegang melibatkan beberapa isu, termasuk permohonan kemasukan parti baharu ke dalam PN serta pendekatan terhadap kumpulan serpihan politik.

Muhyiddin sebelum ini juga telah mengadakan pertemuan dan bermaafan dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, semasa majlis sambutan Aidilfitri di Rusila, Terengganu.

Tuntutan PAS tidak munasabah, kata Bersatu

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata tuntutan PAS supaya Bersatu memberi ruang kepada pasukan Reset adalah tidak munasabah.

Tun Faisal Ismail Aziz

Dia berkata pasukan Reset melakukan pelbagai kesalahan terhadap Bersatu, sambil mempersoalkan sama ada PAS akan begitu pemaaf jika perkara itu melibatkan anggota mereka.

“Bila kali terakhir PAS duduk bersama Amanah dan (presidennya) Mohamad Sabu, serta terima mereka masuk semula ke dalam Pas atas nama ukhuwah dan perpaduan Islam?” soalnya.

Tambahnya pemimpin PAS yang bercakap tentang ukhuwah dan perpaduan, tetapi tidak mengamalkan dalam tindakan mereka.

“Boleh setuju pula bila diminta duduk semeja dengan pihak yang memaki hamun dan menyerang dia hampir setiap hari sejak tahun 2024.

“PAS tahu tak kesalahan-kesalahan mereka ni berat? Antara mereka ini adalah perasuah yang sanggup menawarkan rasuah RM3,000 untuk ketua-ketua bahagian menandatangani SD (akuan bersumpah) mendesak Muhyiddin berundur. Antara mereka juga penerima rasuah RM3,000. Mereka langgar perlembagaan dan disiplin parti.

“Mereka langgar keputusan-keputusan parti. Ada yang membuat jenayah memalsukan SD. Ada yang khianat, membuat rundingan haram tanpa mandat dengan pihak musuh. Ada yang langgar sumpah dan baiah atas nama Allah.

“Apabila Presiden PAS dan PAS menyokong tindakan mereka, celah mana hukum Islam yang menghalalkan dan celah mana hukum syarak dipatuhi?” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS