Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin hari ini mengumumkan penubuhan parti baru yang dikenali sebagai Wawasan Negara.
Pengumuman itu dibuat ketika dia berucap pada Konvensyen Reset hari ini, dengan parti berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama minggu depan sebagai langkah awal menyusun dan memperkukuh struktur organisasinya.
“Ramai tertanya-tanya, Reset, Reset (tapi) partinya mana. Saya nak maklumkan kita akan adakan AGM pertama pada minggu hadapan,” katanya.
Hamzah berkata nama parti Wawasan Negara itu diberikan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Parti yang saya nak maklumkan ini namanya diberikan oleh ayahanda (Abdul Hadi Awang) saya, Ayoh Chik. Parti itu bernama Wawasan Negara.
“Abdul Hadi Awang yang berikan nama ini. Insya-Allah kita akan bersama-sama bekerjasama membentuk kesefahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif demi agenda masa depan rakyat dan negara," katanya.
Hamzah turut menggambarkan parti baru itu masih berada pada peringkat awal penubuhan dan memerlukan bimbingan daripada kepimpinan politik sedia ada.
“Kami ini baru dilahirkan. Jika kami tidak dijaga dan tidak ditatih oleh ayahanda saya (Abdul Hadi Awang), tidak tahu ke mana kami,” katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan penglibatannya dalam parti baru tersebut tidak mengubah pendirian politiknya bersama PN.
“Saya akan bersama-sama dengan PN. Kami mahu bersama dengan PAS, Gerakan dan rakan-rakan,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.
Reset merupakan gerakan politik yang diasaskan Hamzah, yang juga bekas timbalan presiden Bersatu, selepas dia dipecat daripada parti itu.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata parti baru itu kelak akan menyertai sebuah gabungan parti politik bagi mengukuhkan kedudukannya.
Menurut Saifuddin, Hamzah kini mengetuai Reset sebagai gerakan untuk melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baharu, dan bagi merealisasikan gagasan itu, gerakan berkenaan memerlukan sebuah parti politik.
