1

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu bersetuju meneruskan kedudukan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di Parlimen selepas mengambil kira pandangan ahli Parlimen PAS dan Reset.

Menurut Abdul Hadi, keputusan itu tidak dibuat oleh PAS secara bersendirian, sebaliknya selepas mendengar pandangan wakil rakyat lain yang bersama dalam blok pembangkang.

“Yang pertama, ahli-ahli parlimen PAS dan ahli parlimen Reset, kita tak ambil kira PAS saja. Kita ambil kira pandangan ahli parlimen (Reset juga).

“Walaupun Bersatu tekan, (minta) lantik cepat (ketua pembangkang dan minta) jangan lantik Hamzah. Saya kata tak boleh.

“Kami akan ambil kira (pandangan) ahli-ahli Parlimen semua sekali. Bukan PAS saja. Kita mendapat suara daripada ahli-ahli Parlimen.

“Maka PAS membuat keputusan bersetuju meneruskan Hamzah jadi ketua pembangkang. Itu satu gol,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan, hari ini.

Abdul Hadi turut berkata PN akan mengekalkan kepimpinan sedia ada dalam gabungan berkenaan.

“Yang kedua kita kekalkan (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai) pengerusi PN,” katanya.

Ramai tokoh besar akan sertai PAS

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang mendakwa beberapa tokoh besar akan menyertai PAS dalam satu pengumuman di Negeri Sembilan malam ini.

“Malam ni di Negeri Sembilan kita akan diumumkan beberapa tokoh-tokoh besar parti politik, bekas menteri, bekas exco, tokoh-tokoh NGO, kesatuan pekerja akan masuk parti kita (PAS) malam ni di Negeri Sembilan.

“Ini keputusan yang mengejutkan. Insya-Allah kita akan buat satu perubahan. Satu perubahan yang akan menggerakkan jentera-jentera kita kearah perubahan menyelamatkan negara Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, PAS memaklumkan calon daripada parti itu akan dilantik sebagai ketua pembangkang baru bagi menggantikan Hamzah Zainudin, yang dipecat keahliannya daripada Bersatu baru-baru ini.

Menurut notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, dimaklumkan lebih 60 ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan supaya Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang.

Jumlah itu sekali gus dikatakan mencapai majoriti sokongan ahli parlimen pembangkang bagi mengekalkan ahli parlimen Larut itu menerajui blok pembangkang di Dewan Rakyat.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS