Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS, Iran setuju tamatkan perang, meterai perjanjian Jumaat ini
Diterbitkan:  Jun 15, 2026 11:10 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Pegawai AS dan Iran pada Ahad berkata mereka bersetuju dengan rangka kerja bagi menamatkan perang mereka, menghentikan sekatan AS ke atas Iran dan membuka semula Selat Hormuz, satu pakatan awal yang menyebabkan harga minyak jatuh tetapi menyerahkan nasib program nuklear Iran kepada rundingan lanjut.

"Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini selesai," tulis Presiden AS Donald Trump di platform Truth Social miliknya sekitar jam 5.30 petang waktu tempatan ET di Washington (2130 GMT) pada Ahad. Catatannya muncul sejurus selepas Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang negaranya bertindak sebagai pengantara, mengumumkan perjanjian dicapai pada awal Isnin waktu tempatan.

Memorandum persefahaman itu dijadualkan dimeterai secara rasmi pada Jumaat di Switzerland. Terma tepat tidak diketahui serta-merta.

Sharif berkata dalam satu hantaran di X bahawa pakatan itu menuntut "penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan.

"Lubnan menjadi titik buntu dalam rundingan, dengan Israel dan Hizbollah mengabaikan gesaan daripada Trump dan pihak lain untuk menghentikan serangan sesama mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Sementara itu, Reuters yang memetik kenyataan, sekretariat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berkata perang dan operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk Lubnan, akan berakhir secara kekal bermula malam Isnin.

Tiada reaksi segera terhadap pengumuman itu daripada Israel, yang menyatakan ia bukan sebahagian daripada rundingan AS-Iran.

Selat Hormuz dibuka semula

Trump berkata Selat Hormuz, laluan perkapalan utama untuk bekalan minyak dan gas global yang ditutup secara berkesan oleh Iran selama berbulan-bulan, akan dibuka pada Jumaat, dan dia mengarahkan sekatan AS ke atas pelabuhan Iran ditamatkan.

"Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!" tulis Trump.Harga minyak jatuh berikutan berita itu. Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 4 peratus dalam dagangan awal pada Isnin, manakala West Texas Intermediate AS merosot lebih 4.6 peratus.

Pasaran saham di Asia melonjak.

Bekas jurucakap Jabatan Negara pentadbiran Biden, Matthew Miller berkata Trump membuat konsesi penting kepada Iran untuk mencapai status quo yang wujud sebelum dia melancarkan perang.

"Kami tidak mempunyai jaminan program nuklear akan ditangani, tetapi Iran menunjukkan kepada dunia ia boleh menjadikan ekonomi global sebagai tebusan dan mendapat sesuatu daripada AS sebagai balasan," kata Miller.

Sementara itu, Anadolu Ajansi memetik timbalan menteri luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata perjanjian yang lebih meluas akan dirundingkan dalam tempoh gencatan senjata 60 hari, termasuk pelepasan sekatan untuk Iran.

Gharibabadi menyifatkan memorandum itu bukan sahaja hasil daripada diplomasi tetapi juga pencapaian ketenteraan Iran semasa konflik.

“Musuh yang melancarkan serangan itu gagal dalam semua objektif jahatnya, dan Republik Islam mencapai kemenangan besar dalam perang,” katanya.

Nasib program nuklear Iran, satu lagi isu rumit, juga akan ditangani dalam rundingan terkemudian itu, kata sumber sebelum ini kepada Reuters.

Sejak tentera AS dan Israel mula-mula menyerang Iran pada 28 Februari lalu, ribuan orang terkorban, kebanyakannya di Iran dan Lubnan. Iran kemudian menyerang Israel dan negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan AS dan menyekat Selat Hormuz secara berkesan, sekali gus melonjakkan harga tenaga global.

Tentera AS menyekat pelabuhan Iran sebagai tindak balas.

Perang Iran menjadi liabiliti politik di tanah air bagi Trump dan rakan sekutunya daripada Republikan di Kongres, dengan tinjauan pendapat umum menunjukkan rakyat AS amat kecewa dengan kenaikan harga minyak menjelang pilihan raya pertengahan penggal November.

Namun Trump juga menghadapi tekanan daripada anggota parti dia sendiri yang berkeras bahawa program nuklear Iran mesti ditutup sepenuhnya.

Senator Republikan Lindsey Graham, seorang penyokong tegar dasar keras terhadap Iran, memuji perjanjian itu tetapi berkata dia akan "memerhatikan dengan teliti" rundingan akan datang mengenai program nuklear Iran.

"Di bawah undang-undang kami, sebarang perjanjian nuklear dengan Iran akan dihantar ke Kongres untuk semakan dan pengundian," katanya.

"Tahniah kepada semua kerana membawa kita ke tahap ini.

"Semasa penggal pertama dia, Trump menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear pelbagai hala Iran 2015, yang dirundingkan oleh Presiden Demokrat Barack Obama, yang menarik balik sekatan ke atas Teheran sebagai pertukaran kepada had program nuklearnya, termasuk pemeriksaan antarabangsa.Iran bertindak balas dengan mempertingkatkan pengayaan uraniumnya, menghasilkan lebih 400 kg (kira-kira 900 paun) bahan pada ketulenan gred bom.

Nasib akhir uranium itu berkemungkinan menjadi perkara rundingan utama semasa rundingan akan datang.

Trump kata Netanyahu ‘a very difficult guy’

Perjanjian itu dimeterai walaupun terdapat serangan Israel ke atas Lubnan pada Ahad yang menarik kritikan daripada Iran dan Trump.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berbeza pendapat dengan Trump berhubung tuntutan AS agar Israel menyekat tindakan ketenteraannya di Lubnan bagi membolehkan Washington mencapai perjanjian dengan Iran.

Israel menyatakan ia akan mengekalkan kebebasan operasi di Lubnan, manakala Iran menjadikan gencatan senjata penuh sebagai komponen penting dalam tuntutannya.Trump memaklumkan Netanyahu tentang kemajuan ke arah perjanjian damai semasa panggilan telefon pada Ahad, lapor N12 Israel, memetik seorang pegawai kanan.

Benjamin Netanyahu

Dalam satu bual bicara dengan New York Times, Trump menggelar Netanyahu a very difficult guy atau "seorang lelaki yang sangat sukar" dan berhujah pemimpin Israel itu sepatutnya berterima kasih kepadanya kerana menyelamatkan Israel daripada Iran yang bersenjata nuklear.

Sebelum perjanjian itu diumumkan, seorang pegawai kanan Iran sebelum ini memberitahu Reuters bahawa, di bawah terma draf tersebut, AS bersetuju untuk melepaskan AS$25 bilionaset Iran yang dibekukan.

Seorang pegawai AS, yang juga bercakap sebelum pengumuman itu, berkata perjanjian tersebut akhirnya akan membawa kepada pembongkaran program nuklear Iran, dengan simpanan uranium yang diperkaya tinggi akan dimusnahkan dan dikeluarkan.

Seorang pegawai kanan Iran berkata draf perjanjian itu membenarkan Iran, yang menafikan usaha mendapatkan bom nuklear, untuk mencairkan uranium yang diperkaya di dalam negara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS