Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Intipati kandungan perjanjian Iran-AS
Diterbitkan:  Jun 15, 2026 11:53 AM
Dikemaskini: 4:10 AM

Sebuah agensi berita separa rasmi di Iran, Mehr, mendedahkan bahawa draf memorandum persefahaman (MoU) mengandungi 14 syarat utama antara Tehran dan Washington. Pendedahan ini hadir menjelang majlis menandatangani perjanjian yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini, di Switzerland.

Berdasarkan laporan media tersebut, garis panduan rundingan ini memfokuskan kepada beberapa perkara penting:

Ketenteraan & Geopolitik: Pelaksanaan gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal di semua zon konflik, termasuk di Lubnan. Selain itu, AS perlu berundur dari Iran dan berjanji tidak akan meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau berkenaan.

Ekonomi & Pembangunan: AS bersama sekutunya dikehendaki menyediakan dana sekurang-kurangnya AS$300 bilion bagi pelan pembangunan semula Iran. Semua sekatan ke atas eksport minyak dan produk tenaga juga mesti dihapuskan.

Kedaulatan & Selat Hormuz: AS wajib menghentikan sekatan laut dalam masa 30 hari. Seterusnya, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh sama di bawah pengurusan dan kawalan pihak Iran. AS juga harus komited untuk tidak mencampuri urusan domestik Iran.

Nuklear: Iran menegaskan semula pendirian dan janji mereka untuk tidak membangunkan sebarang senjata nuklear.

Sekatan: Tiada lagi sekatan tambahan yang akan dikenakan oleh pihak Washington terhadap Iran pada masa hadapan.

Mehr menegaskan bahawa perbincangan muktamad hanya akan bermula sekiranya separuh daripada aset Iran yang dibekukan dilepaskan, sekatan minyak digantung, dan sekatan maritim ditamatkan terlebih dahulu.

Dokumen itu menetapkan AS$24 bilion aset (RM 97.4 bilion) Iran yang dibekukan akan dilepaskan sepanjang tempoh rundingan selama 60 hari yang bermula selepas memorandum persefahaman berkenaan dimuktamadkan.

"Separuh daripada jumlah itu perlu disediakan kepada Iran sebelum rundingan bermula," menurut teks dokumen.

Jika berjalan lancar, dokumen perjanjian akhir ini dikatakan bakal disahkan secara rasmi melalui resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Xinhua melaporkan PBB menyambut baik pengumuman AS dan Iran bersetuju dengan perjanjian damai yang meliputi gencatan senjata serta-merta dan kekal, pembukaan semula Selat Hormuz serta rangka kerja untuk rundingan lanjut.

"Ini mewakili langkah penting ke arah penyelesaian konflik secara aman," kata jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyatakan penghargaan atas peranan membina yang dimainkan oleh Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Türkiye dan negara serantau lain dalam membantu rundingan yang membawa kepada perjanjian damai.

"Setiausaha Agung berharap pihak terlibat akan memanfaatkan momentum baharu ini dan menggandakan usaha mereka ke arah penyelesaian muktamad konflik," tambahnya.

"Setiausaha Agung menegaskan semula bahawa PBB bersedia untuk menyokong pihak terlibat dalam mencapai keamanan yang berdaya tahan dan menyeluruh."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS