Pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) memulakan sidang kemuncak tiga hari di Perancis pada Isnin, dengan perjanjian tentatif Amerika Syarikat (AS)-Iran dijangka mendominasi perbincangan awal dan dinilai sama ada ia boleh meredakan ketegangan di Asia Barat dan membantu mencegah konflik serantau yang lebih luas, lapor Kyodo News.
Perjanjian bertujuan menamatkan permusuhan itu diumumkan pada Ahad yang juga hari jadi ke-80 tahun Presiden AS Donald Trump dan dijangka dimeterai secara rasmi Jumaat ini.

Presiden Perancis Emmanuel Macron, pengerusi sidang kemuncak tahun ini, berkata para pemimpin akan membincangkan pembukaan semula Selat Hormuz secara jangka panjang.
Sidang kemuncak di bandar tepi tasik Perancis, Evian-les-Bains itu akan menguji sama ada G7 mampu mengemukakan barisan yang bersatu dalam isu seperti ketegangan di Asia Barat, Ukraine dan keselamatan ekonomi ketika perselisihan masih wujud antara AS dan sekutu Eropahnya.
Perhimpunan itu menandakan pertemuan bersemuka pertama pemimpin G7 sejak AS dan Israel melancarkan serangan tentera terhadap Iran pada akhir Februari.
Para pemimpin menghadiri majlis alu-aluan dan makan malam pada Isnin sebelum perbincangan sidang kemuncak rasmi yang akan diadakan dalam tempoh dua hari akan datang.

Trump telah menyatakan kekecewaan terhadap negara Eropah yang mengkritik tindakan ketenteraan AS terhadap Iran.
Ketidaksefahaman berlanjutan berhubung perang Iran dan perang Rusia ke atas Ukraine, dengan pemimpin Eropah terus menyatakan sokongan padu untuk Kyiv manakala Trump telah mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.
Bagi mengelak daripada menonjolkan perbezaan pendapat mereka, kumpulan pemimpin itu dijangka tidak mengeluarkan komunike bersama pada akhir sidang kemuncak.
Jika tiada pengisytiharan keseluruhan dikeluarkan, ia akan menandakan sidang kemuncak G7 kedua berturut-turut tanpa kenyataan rasmi bersama itu.
Sebaliknya, mereka mengusahakan kenyataan berasingan untuk bidang yang dilihat boleh mencapai konsensus termasuk rantaian bekalan mineral kritikal dan ketidakseimbangan ekonomi global.
Perancis telah menjemput pemimpin daripada bukan ahli G7 iaitu Brazil, Mesir, India, Kenya dan Korea Selatan untuk mengambil bahagian dalam sesi terpilih sidang kemuncak berkenaan, sebagai jangkauan kumpulan itu terhadap ekonomi yang pesat membangun dan rakan kongsi utama.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dijadual menyertai perbincangan pada Selasa mengenai perang dengan Rusia dan usaha diplomatik untuk memperoleh keamanan.
Pemimpin Timur Tengah turut dijadual mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai keselamatan serantau, termasuk isu Selat Hormuz.
Eksekutif syarikat kecerdasan buatan (AI) terkemuka, termasuk Anthropic dan OpenAI, dijangka menyertai perbincangan sidang kemuncak pada Rabu yang memfokuskan pada pembangunan AI, aplikasi praktikal dan keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Menjelang sidang kemuncak itu, puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di Geneva pada Ahad.
Walaupun kebanyakan protes adalah aman, masih terdapat peserta yang bertempur dengan polis, membaling batu dan membakar kenderaan, menyebabkan gas pemedih mata digunakan.
Susulan Evian-les-Bains yang terletak di pantai selatan Tasik Geneva, pihak berkuasa Switzerland, bekerjasama dengan rakan sejawat Perancis mereka, telah mengetatkan keselamatan, mengerahkan sekitar 4,000 tentera.

G7, yang menghimpunkan beberapa negara terkaya di dunia, telah lama menjadi sasaran aktivis antiglobalisasi dan antikapitalis yang melihatnya sebagai simbol kekayaan dan kuasa ekonomi, dengan protes kerap mengiringi sidang kemuncaknya dan mesyuarat berkaitan.
Kumpulan itu terdiri daripada Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan AS serta Kesatuan Eropah.
