Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mengecam Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang didakwa menggunakan institusi diraja sebagai perisai atau benteng untuk menjawab teguran politik daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai isu kepimpinan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kini semakin hangat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mahfuz berkata bahawa pemimpin politik tidak sepatutnya mengheret institusi istana ke dalam polemik politik semasa demi mempertahankan kedudukan masing-masing.

"Kenyataannya sebagai respons terhadap teguran dan nasihat perdana menteri dengan mengaitkan peranan dan hubungan dengan institusi diraja, adalah sesuatu yang tidak wajar dalam konteks menjawab kritikan dan teguran politik.
"Institusi Raja-Raja Melayu merupakan payung negara dan lambang perpaduan yang amat tinggi martabatnya, sekali gus wajib dihormati dan tidak wajar dijadikan tameng politik.
"Institusi yang begitu tinggi martabatnya tidak seharusnya dijadikan benteng atau perisai untuk mempertahankan kedudukan politik mana-mana individu," katanya.
Mahfuz berkata demikian semasa mengulas kenyataan Onn Hafiz yang menegaskan dia hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi diraja serta memelihara kesejahteraan rakyat bagi menepis dakwaan bersikap sombong.

Sebelum ini, Anwar berseloroh mengenai kedudukan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.
"Teo Nie Ching duduk sebelah boleh ya," katanya dalam nada berseloroh.
Walaupun Anwar tidak menyebut isu secara langsung ketika menyapa pemimpin DAP itu namun perdana menteri dilihat menggunakan kesempatan tersebut untuk menegur cara kempen susulan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan.
Kenyataan itu hadir selepas Onn Hafiz, menarik perhatian apabila memberi jaminan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas PRN akan datang.
Pengerusi BN Johor itu berkata jaminan berkenaan dibuat selaras dengan pendirian seluruh 26 bahagian Umno Johor serta parti komponen BN negeri itu yang mahu bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Onn Hafiz, pendirian tersebut turut disampaikan kepada presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut mengenai sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini, Mahfuz berkata seseorang pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk berdiri atas kekuatan prestasi dan hujah sendiri.
"Saya percaya rakyat hari ini sudah cukup bijak untuk membezakan antara ketaatan kepada institusi beraja dengan pertanggungjawaban seorang ahli politik.
"Jika ada dakwaan bahawa seseorang pemimpin bersikap sombong atau sukar bekerjasama, maka jawapan terbaik ialah membuktikan sebaliknya melalui tindakan, prestasi dan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam kerajaan.
"Rakyat hari ini cukup matang untuk menilai. Mereka boleh membezakan antara penghormatan kepada institusi Raja dengan pertanggungjawaban seorang ahli politik terhadap kenyataan dan tindakannya," katanya.
