GLOBAL | Kapal tangki minyak kini berlayar di Selat Hormuz dan AS mendakwa ia menarik balik sekatan ke atas Iran susulan perjanjian sementara untuk menamatkan perang berkuat kuasa walaupun isu utama masih belum diselesaikan antara kedua-dua negara.
Harga minyak jatuh ke paras terendah sejak perang bermula pada 28 Feb kerana menurut penganalisis, eksport melalui selat itu – yang mengendalikan kira-kira satu per lima daripada bekalan minyak global – mampu kembali normal dalam beberapa bulan mendatang.
Namun Israel masih meneruskan perangnya terhadap Hizbullah di Lubnan, menimbulkan persoalan sama ada perjanjian itu akan dilaksanakan atau tidak.
Di Washington, beberapa sekutu Republikan Presiden Donald Trump dalam Kongres mempersoalkan jika dia terlalu banyak beralah untuk menamatkan konflik yang tidak popular dengan pengundi AS.
Ayatollah Mojtaba Khamenei berkata Trump menandatangani perjanjian itu "kerana terdesak".
Kenyataan itu sekali gus memberi isyarat bahawa rundingan mengenai program nuklear Iran akan datang – alasan Trump untuk memulakan perang – tidak akan berlangsung dengan mudah.
“Jika pihak AS mahu terlalu menuntut, kami tidak akan menerimanya,” kata pemimpin tertinggi Iran itu dalam mesej bertulis.

Perjanjian tersebut memberikan tempoh 60 hari kepada perunding bagi mencapai persetujuan mengenai status program nuklear Iran dan menubuhkan dana pembinaan semula AS$300 bilion untuk Iran dan insentif kewangan lain.
Naib Presiden AS, JD Vance, yang akan mengetuai delegasi negar itu berkata Washington akan berusaha untuk mengehadkan peluru berpandu jarak jauh Tehran.
Semasa melancarkan perang hampir empat bulan lepas, Trump berkata dia berhasrat untuk memusnahkan program senjata nuklear Iran, menamatkan keupayaannya untuk menyerang negara jiran, menghalangnya daripada menyokong militan bersekutu di rantau itu dan membolehkan rakyat Iran menjatuhkan pemimpin berfahaman keras mereka.
Israel tetap berdegil
Walaupun pada mulanya menuntut Iran untuk "menyerah tanpa syarat," Trump akhirnya menandatangani perjanjian itu tanpa satu pun objektif berkenaan tercapai.
Pegawai AS berkata rundingan itu masih boleh menghasilkan persetujuan yang kukuh mengenai program nuklear Iran tetapi pengkritik mengatakan Tehran berada dalam kedudukan yang lebih kukuh sekarang setelah berjaya menahan serangan kuasa besar, menguasai Selat Hormuz dan memperoleh pembatalan yang berharga atas sekatan kewangan.
Iran memberi isyarat bahawa negara itu masih akan mengawal Selat Hormuz dan akan mengeluarkan permit serta mengarahkan lalu lintas dalam tempoh 60 hari walaupun tiada bayaran akan dikenakan pada masa tersebut.
Bagaimanapun di Lubnan – kini lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran – pasukan Israel melancarkan serangan udara baru semalam dan menimbulkan keraguan tentang sejauh mana kesungguhan Trump untuk memaksa Tel Aviv menghentikan serangan yang kini telah dijanjikannya untuk ditamatkan.
Trump berkata dia menjangkakan gencatan senjata yang menyeluruh di semua lokasi.
“AS komited kepada kedamaian, dan kami menggalakkan semua orang di Timur Tengah untuk mengekalkan komitmen mereka untuk membenarkan rundingan kami berlangsung dengan baik," katanya di media sosial.
Perjanjian itu memerlukan "penamatan kekal" perang di Lubnan dan "integriti wilayah dan kedaulatannya" dipastikan.
Israel – yang bukan sebahagian daripada pihak terlibat dalam rundingan – berkata mereka tidak berniat untuk berundur dari Lubnan dan mengeluarkan peta baru menunjukkan zon pendudukan yang diperluas.
Trump secara terbuka mengkritik operasi Israel di Lubnan, yang membawa kepada salah satu perpecahan terbesar antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad.
Vance pula memberi amaran kepada Israel agar menghormati proses damai.
"Jika saya berada dalam kabinet kerajaan Israel, saya mungkin tidak akan menyerang satu-satunya sekutu kuat saya yang masih tinggal di seluruh dunia," katanya di Rumah Putih.
- Reuters
