Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan badan bukan kerajaan (NGO), Aliran tidak akan menarik balik kenyataan mereka yang dianggap menghina suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.

Apabila sesi siasatan bermula pagi ini, peguam mereka, M Puravalen dan CV Prabhakaran, memaklumkan bahawa pelanggan mereka tetap dengan kenyataan mereka yang mengkritik keputusan suruhanjaya tersebut untuk tidak memanggal Anwar dan dua lagi pemimpin PKR memberi keterangan.

Apabila ditanya oleh anggota suruhanjaya, Datuk Mahadev Shankar, Prabhakaran berkata, Aliran yang beribupejabat di Pulau Pinang itu juga tidak akan memohon maaf.

Dalam satu kenyataan kemudiannya, beliau berkata, suruhanjaya diraja itu akan mengambil masa menimbang tindakan selanjutnya yang akan diambil.

Mahadev berkata, suruhanjaya itu memberi perhatian kepada dua artikel yang disiarkan dalam Malaysiakini.

Pertama ialah kenyataan oleh Ramakrishnan bahawa Aliran terkejut besar apabila Anwar, Naib Presiden PKR R Sivarasa dan Penyelaras PKR Sim Tze Tsin tidak dipanggil sebagai saksi dalam siasatan itu meskipun mereka mempunyai bukti yang berkaitan.

Kedua ialah kenyataan akhbar yang dibuat oleh Anwar bahawa suruhanjaya itu dimanipulasi oleh 'tangan di sebalik tabir'.