Pendengaran rayuan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd terhadap hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta atas kesalahan salah guna kedudukan, mengemukakan tuntutan palsu dan pengubahan wang haram yang dijadual hari ini ditangguhkan ke 21 Sept depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman, 67, untuk menangguhkan pendengaran rayuan yang ditetapkan pada 22, 23 dan 25 Jun ini.
Mahkamah turut menetapkan tarikh pendengaran baharu pada 21, 22 dan 23 Sept 2026 serta menetapkan 28 Ogos ini untuk pihak perayu memfailkan hujahan.
Sebelum memberikan tarikh pendengaran baharu, Noor Ruwena mengingatkan supaya tiada lagi permohonan penangguhan dibuat pada masa akan datang.
"Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan tarikh untuk mendengar kes ini, namun saya tidak mahu dikatakan tidak prihatin terhadap masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh pihak-pihak.
"Keputusan dalam kes ini telah diberikan pada Julai 2023 dan tempoh menunggu untuk pendengaran rayuan agak lama. Memandangkan ini merupakan permohonan penangguhan pertama, saya terpaksa membenarkannya. Saya harap tiada lagi permohonan untuk menangguhkan kes ini pada masa hadapan dan saya percaya dengan kerjasama semua pihak, kes ini dapat diselesaikan dalam tahun ini,” kata hakim itu.
Terdahulu, Muhammad Rafique memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya baru menerima eksibit, nota keterangan setebal 4,000 muka surat dan alasan penghakiman kes itu pada 4 Jun lepas.
"Saya mohon supaya prosiding yang dijadualkan bermula hari ini, ditetapkan ke tarikh lain iaitu pada September depan. Pihak kami juga telah menghantar dua surat permohonan penangguhan bertarikh 14 Jun dan 19 Jun lepas," katanya.
Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, Haresh Prakash Somiah dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul.
Pada 6 Julai 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, Otman dijatuhi hukuman penjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta atau dipenjara 119 bulan, sekiranya gagal membayar denda manakala bagi 15 tuduhan salah guna kedudukan, lelaki itu dipenjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Sementara itu, bagi 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Bagaimanapun, Kamarudin mengarahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula 6 Julai 2023, menjadikannya selama 15 tahun. Hakim itu juga membenarkan permohonan Otman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman denda dan penjara sementara menungggu rayuan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucuthakkan kesemua 119 harta termasuk gelang tangan, cincin, jam tangan dan wang tunai kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) SPRM 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.
Otman juga berdepan 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015 di beberapa lokasi bank berbeza di Presint 8, Putrajaya, Jalan Tun Perak dan Jalan Raja, mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
- Bernama
