Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masalah mental bakal bebankan ekonomi negara RM25.3 bilion

Kos implikasi dan beban ekonomi akibat masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion menjelang 2030 sekiranya tiada tindakan intervensi berkesan diambil bagi menangani kemelut berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Suhaizan Kaiat berkata lonjakan unjuran impak kewangan itu membuktikan isu tersebut bukan lagi sekadar masalah klinikal, sebaliknya memberi kesan langsung kepada produktiviti dan sosioekonomi negara.

“Jawatankuasa dimaklumkan bahawa beban ekonomi masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion pada 2030, sekiranya tiada tindakan berkesan diambil. Angka ini menunjukkan bahawa kesihatan mental bukan sahaja isu rawatan, tapi juga isu ekonomi, produktiviti, dan masa depan negara yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan penerangan berhubung Penyata DR.4 2026 mengenai Pengukuhan Sistem Kesihatan Mental di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata data terbaru mengenai aliran peningkatan kes kemurungan menunjukkan angka membimbangkan dalam kalangan penduduk dewasa di negara ini.

“Kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023 bersamaan kira-kira 1 juta orang telah terkesan dengan isu kesihatan mental ini,” katanya.

Menurutnya, golongan kanak-kanak serta remaja turut mencatatkan trend peningkatan status kes yang kritikal bagi tempoh masa sama.

“Dalam kalangan kanak-kanak pula, masalah kesihatan mental meningkat daripada 7.9 peratus kepada 16.5 peratus bagi tempoh sama. Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun pula, satu daripada empat remaja mengalami kemurungan. Ini bukan sekadar angka, tapi gambaran tekanan sedang dihadapi generasi muda negara kita,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Suhaizan berkata jawatankuasa mengemukakan 12 syor strategik menerusi pendekatan menyeluruh bagi merombak sistem sokongan sedia ada, merangkumi tiga aspek utama pengukuhan.

Bagi aspek intervensi kritikal dan tindakan segera, beliau menekankan keperluan memperluas kapasiti talian bantuan krisis, gerakan kempen antistigma berskala besar, serta kawalan ketat terhadap etika pelaporan media.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS