Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran dakwa Israel cuba gagalkan rundingan Switzerland
Diterbitkan:  Jun 23, 2026 11:54 AM
Dikemaskini: 4:38 AM

Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Qalibaf, pada Isnin berkata diplomasi adalah penting untuk menjamin keuntungan politik dan perundangan daripada pencapaian ketenteraan, sambil menegaskan bahawa kedaulatan Lubnan ke atas seluruh wilayahnya mesti dipulihkan sepenuhnya, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan yang disiarkan penyiar rasmi Iran, IRIB, Qalibaf berkata beliau berharap rundingan yang sedang berlangsung akhirnya dapat menjamin kedaulatan penuh Lubnan ke atas seluruh wilayahnya.

"Setiap kejayaan ketenteraan, walau sebesar atau sepenting mana sekali pun, hanya akan menunjukkan kesan sebenar apabila ia direkodkan serta diperkukuh dari sudut politik dan perundangan," katanya.

Beliau berkata proses itu tidak dapat dicapai tanpa diplomasi kerana pengorbanan dan kos yang ditanggung di medan perang tidak akan membawa kepada hasil muktamad tanpa melalui saluran politik dan diplomatik.

Menurutnya, apabila keadaan tertentu diwujudkan di medan perang, diplomasi perlu memainkan peranan melengkapkan apa yang tidak dapat dicapai sepenuhnya menerusi tindakan ketenteraan.

Qalibaf menyifatkan rundingan sebagai "satu kaedah perjuangan" dan kesinambungan kepada perjuangan yang sama, sambil menegaskan beliau telah lama berpegang kepada pendirian itu.

Beliau turut mengkritik anggapan bahawa tindakan ketenteraan dan diplomasi saling bercanggah, sambil menegaskan kedua-duanya sebenarnya saling melengkapi.

Menurut Qalibaf, Memorandum Persefahaman Islamabad yang ditandatangani Iran dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menekankan usaha menamatkan peperangan di Iran dan dalam kalangan sekutunya yang disifatkan Tehran sebagai "paksi penentangan".

Beliau berkata permusuhan di wilayah Iran telah berakhir, namun ketegangan masih berterusan di Selat Hormuz apabila sekatan perkapalan yang dikenakan semasa gencatan senjata disifatkan sebagai "satu bentuk peperangan".

Mengenai Lubnan, beliau berkata keadaan berbeza apabila operasi ketenteraan Israel masih diteruskan walaupun terdapat kerangka persefahaman yang lebih luas, termasuk serangan di pinggir selatan Beirut.

Qalibaf berkata pasukan yang disokong Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, sambil menegaskan bahawa antara "garis merah" Tehran ialah menghalang serangan terhadap Beirut dan memastikan gencatan senjata di selatan Lubnan terus dipatuhi.

"Israel menentang keras proses rundingan ini kerana melihat kemusnahannya dalam laluan ini dan berusaha untuk menggagalkannya," katanya.

Beliau berkata penyertaan Iran dalam rundingan di Switzerland serta usaha diplomatik susulan membantu mengurangkan intensiti pertempuran dan menghentikan permusuhan di Lubnan dalam tempoh dua hari.

Menurutnya, rundingan itu menghasilkan persefahaman bahawa Iran dan AS akan menjamin integriti wilayah Lubnan.

Beliau berkata jaminan itu dimasukkan ke dalam memorandum berkenaan dan sebuah pusat penyelarasan akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaannya, memudahkan kepulangan penduduk serta memastikan pengunduran tentera Israel dari wilayah Lubnan.

Mengenai Selat Hormuz, Qalibaf berkata pengurusan laluan strategik itu akan terus berada di bawah pentadbiran Iran menerusi "pengaturan Iran" dengan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata kedua-dua pihak turut bersetuju mewujudkan talian komunikasi langsung selama 30 hari bagi menyelesaikan pertikaian maritim, insiden perkapalan dan masalah teknikal.

Menurutnya, talian itu bukan bertujuan memberikan kebenaran pelayaran, sebaliknya hanya untuk menangani masalah melibatkan kapal atau sebarang insiden yang mungkin berlaku.

Qalibaf berkata Fasal 11 memorandum berkenaan memperuntukkan pelepasan dua peringkat aset Iran bernilai US$6 bilion yang dibekukan sebelum ini, dan urusan itu telah dimulakan ketika lawatannya ke Qatar sebelum dimuktamadkan di Switzerland.

Beliau berkata Fasal 10 pula meliputi eksport minyak mentah, produk petrokimia, perbankan, insurans dan perkapalan.

Menurutnya, walaupun perjanjian muktamad masih belum dicapai dan sekatan yang lebih luas masih berkuat kuasa, sekatan terhadap minyak digantung sementara di bawah pengaturan interim sehingga tamat tempoh pelaksanaan selama 60 hari.

Qalibaf berkata satu lagi hasil penting rundingan itu ialah persetujuan mengenai kerangka pemantauan pelaksanaan memorandum berkenaan sepanjang 60 hari akan datang, dengan delegasi Iran dan AS dijadual mengadakan pertemuan lanjut bagi menyusuli pelaksanaan peruntukannya.

Kenyataan beliau dibuat sehari selepas Iran dan AS mengadakan rundingan selama 18 jam di Switzerland dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi membincangkan peruntukan memorandum yang masih belum dimuktamadkan, termasuk penamatan permusuhan di semua medan konflik, termasuk Lubnan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS