PAS yakin akan mampu mempertahankan Kelantan, merampas semula Terengganu dan mengambilalih kerajaan negeri Kedah dalam pilihanraya umum akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di samping itu, katanya, PAS juga berharap akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil rakyatnya di setiap negeri selepas pilihanraya umum akan datang.

hadi awang interview 040208 sullen Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain negeri majoriti Melayu - Kelantan, Terengganu dan Kedah - PAS juga boleh memenangi kerusi di negeri-negeri seperti Selangor dan Perak kerana negeri itu negeri `panas'.

PAS telah memerintah Kelantan sejak 17 tahun lalu dan menang di Terengganu dalam pilihanraya umum 1999 sebelum kalah kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya berikutnya.

"PAS bersama parti pembangkang lain mengambil keputusan untuk meletakkan semua calon bagi memastikan BN tidak menang percuma.

"Harapan PAS dalam pilihanraya umum ialah mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil di setiap negeri," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini semalam.

Menurutnya, Majlis Syura PAS sudah meluluskan kira-kira 90 peratus calon yang akan bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum akan datang, manakala selebihnya dijangka selesai tidak lama lagi.

Rundingan dengan PKR

Menurutnya, rundingan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih dijalankan membabitkan beberapa kerusi yang menjadi rebutan di antara kedua-dua parti itu.

PAS, katanya, akan bertanding 70 kerusi Parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak dan mensasarkan menang 40 kerusi. Parti itu hanya menang tujuh dalam pilihnaraya umum lalu.

Majlis Syura, kata beliau, berfungsi untuk memastikan kebolehan dan akhlak calon PAS sebelum bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Selepas Majlis Syura meluluskan nama mereka, kata Abdul Hadi, Jawatankuasa Politik PAS dan Dewan Harian PAS akan menentukan kawasan yang sesuai ditandingi calon terbabit.

"Saya ingin menegaskan tiada calon PAS yang terbabit dengan rasuah dan kegiatan tidak bermoral dalam pilihanraya umum kali ini.

"Satu kawasan DUN mengandungi dua atau tiga calon yang dihantar kepada biro politik yang dicadangkan oleh kawasan atau cawangan PAS.

Calon wanita

"Proses yang sama juga berlaku kepada calon PAS untuk kerusi Parlimen. Ada dua tiga nama yang diluluskan oleh Majlis Syura untuk menjadi calon PAS.

hadi awang interview 040208 smile "Dalam pilihanraya umum kali ini, PAS akan mengemukakan lebih ramai muka baru, begitu juga dengan calon wanita dan pemuda bertambah berbanding dalam pilihanraya sebelumnya," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini di pejabatnya di ibu negara semalam.

Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, selepas nama mereka diluluskan oleh Majlis Syura, jawatankuasa politik akan menentukan kawasan untuk mereka bertanding.

"Namun kita yakin, PAS akan menang lebih banyak kerusi daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenangi dalam pilihanraya umum 1999.

Katanya, manifesto PAS ialah Malaysia Negara Kebajikan iaitu untuk mengurangkan beban rakyat melalui penghapusan cukai tertentu serta pendidikan percuma.

Negara kebajikan juga kata Abdul Hadi memberi jaminan kepada hak dan keadilan kepada orang bukan Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Lihat video di sini .