Pelaksanaan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), impak krisis tenaga global serta dasar luar Malaysia terhadap Myanmar berdasarkan kemajuan Konsensus Lima Perkara (5PC) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengemukakan persoalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung status pelaksanaan dan bilangan peserta industri dalam CRESS pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau juga ingin mengetahui mengenai hasil penilaian semula kadar System Access Charge (SAC) dan implikasinya terhadap sasaran Malaysia menjadi hab pusat data serantau, kos operasi pusat data serta Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Pada sesi sama, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) pula meminta Menteri Ekonomi menyatakan langkah mitigasi yang telah diambil melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global, selain hasil pelaksanaannya setakat ini.
Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengajukan soalan kepada Menteri Kewangan berhubung rasional di sebalik pengumuman kerajaan untuk menyeragamkan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api, dengan diesel kini turut menggunakan MyKad, serta sama ada kelayakan 200 liter bagi kedua-dua bahan api itu mencukupi untuk kegunaan rakyat.
Sementara itu, pada sesi soal jawab, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) bertanyakan kepada Menteri Luar berhubung pendirian semasa dasar luar Malaysia terhadap Kerajaan Myanmar dan sejauh manakah kemajuan dalam 5PC diambil kira dalam perumusan dasar luar tersebut.
Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Digital mengenai usaha kerajaan untuk merangkum inisiatif di negeri-negeri seperti Selangor Dark Fiber Network supaya Malaysia dapat menjamin kedaulatan data bagi keselamatan dan kepentingan nasional.
Beliau juga ingin mengetahui sama ada elemen kedaulatan data diambil kira dalam mencapai hasrat Malaysia sebagai negara AI-ready menjelang 2030.
Pada sesi sama, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta Perdana Menteri menjelaskan berhubung penilaian keberkesanan kurikulum Pendidikan Islam dalam membentuk pelajar, selain mekanisme penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri bagi memastikan kualiti pengajaran Pendidikan Islam yang tinggi di seluruh negara.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pula meminta Perdana Menteri memperincikan status terkini pelaksanaan perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta garis masa terkini bagi menambah jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak untuk mencapai 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Malaysia.
Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Penyata Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia.
Dewan Rakyat kemudiannya menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 kali ini bersidang selama 16 hari bermula Isnin lepas hingga 16 Julai.
- Bernama
