Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini menolak permohonan kebenaran M Indira Gandhi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ketua Polis Negara (IGP) dan beberapa pihak lain berhubung dakwaan kegagalan mengesan bekas suaminya bagi mendapatkan semula anak perempuannya, Prasana Diksa.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dan menolak permohonan itu tanpa sebarang perintah mengenai kos.
Norsharidah ketika membacakan keputusan itu berkata berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan, menunjukkan siasatan dimulakan dan masih berjalan.
“Oleh yang demikian, mahkamah tidak boleh merumuskan bahawa pihak yang dicadangkan sebagai penghina mahkamah tidak mematuhi, atau enggan mematuhi arahan mahkamah, memandangkan siasatan yang diarahkan oleh mahkamah belum selesai,” katanya.
Dia berkata bukti yang dikemukakan termasuk dakwaan bekas suaminya K Pathmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah menggunakan bantuan Sara100 dan BudiI95 tidak mencukupi untuk membuktikan kes prima facie bagi membolehkan kebenaran memulakan prosiding.
Pada 17 Nov 2025, Indira memfailkan permohonan kali kedua untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding itu terhadap IGP atas dakwaan polis lewat mengambil tindakan, walaupun didakwa terdapat maklumat penggunaan bantuan kerajaan yang boleh membantu mengesan keberadaan bekas suaminya.
Sebelum ini, Indira pernah memfailkan saman serta permohonan sama pada Okt 2020, namun ditolak Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2022.
Pada 5 April 2024, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Indira dengan memutuskan bahawa mahkamah terikat dengan keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan, yang menyatakan perintah pemulihan tidak boleh dikeluarkan apabila wujud dua perintah hak penjagaan yang bercanggah (antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah).
Sementara itu, pada prosiding pemantauan kehakiman, peguam Persekutuan Safiyyah Omar memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan semakan semula dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pengeluaran yang dibuat oleh Muhammad Riduan.
"Dua alamat majikan Pathmanathan dan isteri diperoleh, yang kedua-duanya beralamat di Kelantan, dan tindakan lanjut sedang dilakukan oleh PDRM," katanya.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Indira, Harsimran Kaur, mempersoalkan mengapa polis hanya memulakan siasatan kira-kira dua bulan selepas maklumat berkenaan diperoleh.
Dia turut mempersoalkan mengapa hanya alamat majikan isteri Muhammad Riduan diperiksa, sedangkan alamat majikannya tidak disiasat.
Pegawai Penyiasat ASP Yap Siew Cheng menjelaskan siasatan terhadap maklumat berkenaan sedang dijalankan, namun memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk selesai.
Norsharidah kemudian menetapkan 27 Nov depan untuk PDRM memaklumkan perkembangan siasatan.
- Bernama
