Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menjelaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih meneliti permohonan pihaknya untuk untuk menukar nama Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Menurutnya, pertukaran nama itu tidak menjadi masalah kerana dibuat mengikut perlembagaan parti dan kehendak ahli-ahli secara sebulat suara.
"Dalam perlembagaan (parti) diberikan hak kepada ahli-ahli untuk membuat usul untuk ditukarkan kepada nama baru.
"Hari ini nama parti daripada PCM, ahli nak adalah Parti Wawasan Negara, lulus sebulat suara.
"ROS sedang meneliti perkara itu, jika nama Wawasan sama dengan parti lain, maka tak bolehlah, namun saya fikir nama itu sesuai dan masih belum digunakan parti lain," katanya yang juga presiden Wawasan Negara dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Perikatan Nasional (PN) mengumumkan parti pimpinan Hamzah itu diterima sebagai parti komponen gabungannya dan didaftarkan sebagai PCM setakat ini.
Hamzah hari ini turut mengumumkan partinya itu tidak akan menyertai pilihan raya negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Ahli parlimen Larut itu bagaimanapun mengesahkan akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan nanti.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, pertukaran nama parti itu sama sekali tidak menjejaskan sebarang perlembagaan parti dan hanya membabitkan penjenamaan semata-mata.
Lebih penting tegasnya, objektif Wawasan adalah membentuk penyatuan masyarakat berbilang kaum di bawah satu wadah.
"Apa kita lakukan hari ini adalah mengikut perlembagaan lama parti, yang kita ubah hanya nama dan jenama parti, manakala yang lain masih kekal. Jadi jangan persoalkan seolah-olah kami mengambil atau mengubah perlembagaan sesuka hati.
"Apa yang kami fikirkan adalah sebuah platform untuk semua rakyat bersama-sama dengan kami mengikut perlembagaan negara," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama Ketua Penerangan Wawasan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pemilihan nama baru parti itu mencerminkan semangat baru, visi yang lebih luas, dan komitmen kami kepada perpaduan rakyat Malaysia.
Berhubung persoalan teknikal yang dibangkitkan sesetengah pihak mengenai kedudukan parti, dia menegaskan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan dengan jelas bahawa keputusan dalaman sesebuah pertubuhan berdaftar.
Kata Ahli Parlimen Machang itu, ia termasuk pelantikan pemegang jawatan dan keputusan perlembagaan adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.
"Peranan ROS pula adalah mengemaskini daftar pertubuhan, bukan mempertikai atau membatalkan keputusan yang dibuat secara sah mengikut perlembagaan parti.
"Kami tidak berhasrat melayan polemik yang sengaja dicipta untuk mengalihkan perhatian daripada perjuangan sebenar membela rakyat. Yang lebih penting ialah bagaimana kita bersama membina Malaysia yang lebih baik," katanya.
