Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat penarafan positif apabila mencatat kadar sokongan tertinggi, iaitu 52 peratus berbanding pemimpin politik lain, menurut tinjauan terbaharu Merdeka Center yang dikeluarkan hari ini.
Tinjauan yang dilakukan antara 12 Mac hingga 9 April tahun ini juga mendapati 42 peratus daripada pengundi Malaysia masih percaya bahawa negara ini berada pada landasan yang betul meskipun berdepan dengan ketidaktentuan antarabangsa yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi.
Merdeka Center dalam kenyataan hari ini memaklumkan peratusan itu tidak berubah berbanding angka yang direkodkan pada Disember 2025 dan Februari 2026.
"Merentasi kumpulan etnik, 39 peratus responden Melayu menyatakan negara ini menuju ke arah yang betul berbanding 50 peratus dalam kalangan responden Cina dan 33 peratus responden kaum India.
"Mengikut kumpulan umur, responden berumur 21 hingga 30 tahun merekodkan sentimen positif tertinggi sebanyak 57 peratus, manakala mereka yang berusia 51 hingga 60 tahun merupakan kumpulan paling kurang optimistik dengan hanya 32 peratus," menurut kenyataan itu.
Dari segi tahap kepuasan terhadap Kerajaan Persekutuan, sebanyak 50 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati, manakala 48 peratus lagi tidak berpuas hati.
Berdasarkan kumpulan etnik, responden bumiputera Muslim dan bukan Muslim dari Sabah dan Sabah mencatat tahap kepuasan tertinggi dengan 68 peratus, diikuti responden Cina sebanyak 53 peratus, manakala responden India dan Melayu pula masing-masing merekodkan tahap kepuasan 46 peratus dan 44 peratus.
Responden muda berusia 21 hingga 30 tahun pula mencatat tahap kepuasan tertinggi dengan 64 peratus menyatakan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan.
Menurut tinjauan berkenaan, sokongan terhadap reformasi institusi kekal utuh dengan sokongan besar diberikan kepada cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta memperkenalkan pilihan raya secara langsung bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur.
"Perlu diperhatikan bahawa sokongan terhadap reformasi politik ini menunjukkan perbezaan kecil antara responden Melayu dengan bukan Melayu, sekali gus melihatkan cadangan berkenaan mendapat sokongan meluas merentasi pelbagai kaum," menurut kenyataan itu.
Tinjauan tersebut melibatkan 1,209 pengundi merangkumi 51 peratus Melayu, 27 peratus Cina, lapan peratus India, tujuh peratus bumiputera Muslim dan tujuh peratus bumiputera bukan Muslim (dari Sabah dan Sarawak), melalui temu bual telefon menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata bagi mencerminkan demografi pengundi di Malaysia.
- Bernama
