Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid ulas Puad keluar Umno: BN hormat pendirian pemimpin undur diri
Diterbitkan:  Jun 26, 2026 8:19 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian mana-mana pemimpin dalam membuat keputusan termasuk mereka yang bertindak keluar parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata keputusan itu merupakan hak individu berkenaan, namun parti amat menghargai dukungan ahli baharu dan lama kepada kepimpinan BN Johor di bawah Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"...yang penting adalah memberikan sokongan kepada semua 56 calon Barisan Nasional untuk PRN Johor nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa ke-25, di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil berhubung kenyataan berbaur fitnah oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar parti semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tiada keperluan untuk mengenakan tindakan terhadap beliau.

"Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tertentu dilakukan dan beliau telah menawarkan diri untuk tidak bersama-sama dengan Umno.

"Kita menghargai apa yang telah beliau sumbangkan kepada Umno selama ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Dr Mohd Puad Zarkashi," katanya.

Mohd Puad menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook semalam mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta dan menyatakan keputusan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala hari pengundian pada 11 Julai ini.

Selain Mohd Puad, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim turut mengumumkan keluar daripada Umno, berkuat kuasa semalam dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS