Suasana petang 20 Jun itu redup saja. Para penyokong berkumpul untuk mendengar sendiri pengumuman calon yang dipertaruhkan oleh DAP dalam percaturan mereka menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ia adalah pilihan raya pertama buat DAP selepas parti itu mengalami kekalahan teruk dalam PRN Sabah pada tahun lalu.
Penyokong parti berkumpul di bawah khemah yang sudah hampir penuh di tepi jalan. Detik yang ditunggu semakin hampir. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bakal mengumumkan nama calon untuk kerusi DUN Senai dan Bukit Permai.
Ketika Loke mengumumkan nama Mohamad Shafwan Ani sebagai calon untuk kerusi Bukit Permai dan Wong Bor Yang untuk Senai, ada suara terdengar dalam kalangan hadirin. Beberapa penyokong nampaknya teruja menjulurkan kepala mereka keluar dari khemah.
Seekor burung enggang hinggap di tiang lampu di seberang jalan. Sebahagian daripada hadirin mencadangkan bahawa burung enggang – dipercayai enggang belulang – yang bertenggek itu mungkin suatu petanda baik.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, juga telah berkongsi video memaparkan burung enggang itu di media sosial.
Maskot DAP, “Ubah” bagaimanapun diinspirasikan oleh burung enggang badak. Mesej itu membawa PH sekali gus DAP ke Putrajaya selepas maskot itu muncul buat kali pertama dalam PRN Sarawak 2011.
Ia digunakan semula dalam PRN 2016 dan PRU 2018.
Bagi aktivis atau petugas politik yang rasional, mereka tahu bukan burung enggang yang akan menentukan haluan pilihan raya. Pun begitu ia memghantar isyarat kepada PH dan DAP: para penyokong masih yakin gabungan itu masih ada harapan, dan mampu menang.

Di sebuah kopitiam tradisional tidak jauh dari tempat acara tersebut berlangsung, seorang wanita Cina tempatan memberitahu dia tetap meletakkan keyakinan kepada “roket”.
Bagi tukang masak itu, keyakinannya tidak goyah dan dia akan tetap memberikan undi kepada PH.
Faktor penentu menang, kalah
Walaupun DAP bergantung kepada penyokong seperti wanita terbabit, realiti yang perlu diterima ialah, pengundi lebih muda – seperti anak-anaknya tukang masak itu – adalah jauh lebih penting.
Kata wanita terbabit, anak-anaknya bekerja sama ada di Kuala Lumpur atau Singapura. Justeru dia akan meminta mereka pulang untuk mengundi pada 11 Julai nanti.
Keluarga seperti itu bukanlah sesuatu yang asing di Johor. Sebilangan besar pengundi muda memang bekerja di luar, malah sesetengahnya mencari rezeki di seberang Tambak Johor.
Kerajaan menganggarkan lebih daripada sejuta rakyat Malaysia berada di Singapura atas pelbagai sebab, termasuk untuk kerja, urusan pendidikan dan perniagaan.
Bagi negeri seperti Johor, pengundi luar kawasan boleh menjadi faktor penentu untuk sesebuah parti menang atau kalah dalam PRN nanti.
Ia bukan sekadar hujah biasa yang diulang-ulang oleh ahli strategi parti sebaliknya memang terdapat data yang kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut.

Pada Mac 2022, apabila BN membubarkan DUN secara mengejut dan ketika negara berdepan ancaman Covid-19, jumlah yang keluar mengundi ialah 54.9 peratus.
Pintu sempadan Malaysia-Singapura kekal terhad disebabkan oleh pandemik, menghalang sebilangan besar pengundi luar Johor di Singapura daripada kembali. Akibatnya, BN memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.
Tetapi hanya lapan bulan kemudian, apabila PRU ke-15 diadakan, peratusan keluar mengundi di Johor dianggarkan sekitar 75.5 peratus. Kadar itu sedikit lebih tinggi berbanding peratusan keluar mengundi kebangsaan.
Jika PRN Johor diadakan serentak dengan PRU ke-15 dan pengundi mengundi dengan cara yang sama di peringkat parlimen, PH boleh memenangi 30 daripada 56 kerusi DUN berbanding BN 19 dan PN hanya tujuh.
Baca ANALISIS | Kenapa 25 kerusi BN Johor sebenarnya berisiko?
Itu bermakna PH akan membentuk kerajaan sendiri di Johor.
Andaian itu dibuat dengan mengambil kira undi dari semua pusat pengundian di peringkat parlimen dalam PRU ke-15 dan memindahkannya ke peringkat negeri.
Kerusi DUN Bekok – yang dirampas MCA daripada DAP dalam pilihan PRN lalu – adalah contoh yang baik tentang bagaimana peratusan keluar mengundi yang tinggi boleh menjejaskan sesuatu keputusan PRN Johor.
Pada 2022, pusat pengundian terbesar di Bekok, Kampung Jawa Chaah, menyaksikan seramai 2,734 pemilih keluar mengundi dengan BN mendapat 1,371 undi manakala PH menerima 627 undi.
Lapan bulan kemudian – dalam PRU – BN menerima jumlah undi yang lebih kurang sama iaitu 1,410 untuk Kampung Jawa Chaah.
Sikap enggan peduli penyokong PH
Bagaimanapun PH menerima 2,043 undi dan menang mudah di peringkat pusat pengundian. Sejumlah 3,924 pengundi di Kampung Jawa Chaah keluar memilih dalam PRU tersebut.
Aritmetik pilihan raya ini merupakan rahsia terbuka dalam kalangan ahli politik, dan BN sekali lagi bergantung kepada strategi yang sama – mengadakan PRN awal di Johor.
Walaupun PRN yang berasingan cenderung menyaksikan jumlah keluar mengundi yang lebih rendah berbanding PRU, kali ini ia dijangka tidak akan seteruk pada awal 2022 yang dipengaruhi sekatan perjalanan.
Ini bermakna BN perlu menjangkakan keadaan yang lebih kompetitif dalam PRN yang akan datang berbanding PRN sebelumnya.
Satu faktor yang boleh membantu BN mengekalkan peratusan keluar mengundi yang rendah ialah sikap tidak peduli dalam kalangan penyokong PH ekoran rasa kecewa mereka terhadap usaha reformasi yang perlahan di Putrajaya.

Malah ada kemungkinan mereka memilih untuk duduk di rumah saja pada hari pengundian berlangsung.
Seorang pengundi Tangkak yang menetap di Kuala Lumpur memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak akan pulang mengundi kerana "tidak sanggup mengundi BN, tetapi pada masa yang sama, tidak sanggup juga mengundi PH."
Tetapi faktor lain yang perlu diambil kira ialah langkah pelik PN yang tidak bertanding di semua 56 kerusi DUN seperti yang dilakukan mereka pada 2022.
Untuk PRN kali ini PN hanya bertanding di 33 kerusi.
Keputusan diambil itu menjadikan BN dan PH bertembung secara lebih langsung di baki 23 kerusi lain dan undi tidak akan terpecah kepada PN. Secara tradisinya PN mendapat sokongan daripada pengundi konservatif dengan kebanyakannya pendukung BN.
Salah satu kerusi yang tidak dicabar oleh PN ialah DUN Bukit Batu yang sebelum ini dimenangi PKR dengan majoriti 137 undi saja.
Dalam PRN Mac 2022, PH mendapat 9,292 undi berbanding 9,107 dikumpulkan BN manakala PN memperoleh 3,901 undi. Satu lagi parti yang bertanding ialah Warisan uyang mendapat 1,334 undi.
Apabila PRU ke-15 diadakan pada Nov tahun itu PH menjarakkan diri dengan lebih selesa apabila memenangi 20,383 undi berbanding BN (9,319 undi) dan PN (5,591 undi).
Jika PRN diadakan serentak dengan PRU, PH berpeluang menang dengan majoriti 11,064 undi.
Ujian semangat politik
Dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah dan PN tidak menjadi pemecah undi, persaingan di antara BN dan PH di kerusi itu kini dijangka lebih sengit.
Pada masa sama, pengundi Cina boleh dianggap sudah menjarakkan diri daripada PN dengan parti yang dianggap mewakili kaum itu – Gerakan – mengumumkan yang mereka tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi kali ini.
Berdasarkan senarai calon PN, gabungan pembangkang itu hanya menampilkan seorang calon Cina dan itu pun mewakili Bersatu.
Bagi DAP khususnya – yang majoriti penyokongnya adalah Cina – lawan utama mereka kini ialah BN.
Berikutan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu, PH melancarkan kritikan terhadap BN secara terbuka di sebalik hubungan yang terjalin di antara kedua-dua parti di peringkat pusat.
Pertembungan musuh tradisi itu menyegarkan semula asas PH yang selama ini terbiasa berlawan dengan BN dan menghasilkan semula semangat politik yang dilihat semasa PRU 2018 dan 2022.

Pemerhatian terhadap acara pengumuman calon DAP di Mengkibol, Johor Jaya dan Senai menyaksikan parti itu berjaya menarik ramai orang. Ia merupakan suatu pemulihan daripada respon yang malap pada tahun lalu.
Namun sama ada semangat politik itu akan melangkaui penyokong parti dan momentumnya mampu bertahan sehingga minggu-minggu kempen yang penting atau tidak, ia masih belum dapat dipastikan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Loke mengakui bahawa BN mempunyai kelebihan di Johor.
Katanya, walaupun secara teknikalnya PH boleh memenangi lebih separuh kerusi DUN jika melihat kepada pencapaian gabungan itu dalam PRU 2022, dia mengakui bahawa PRN adalah sangat berbeza.
PH berharap dapat meningkatkan prestasinya kali ini memandangkan keadaan semasa mencabar, ia masih tidak lebih buruk berbanding semasa sekatan pandemik Covid-19 pada awal 2022 apabila jumlah pengundi keluar berada pada tahap terendah.
Faktor Gelombang Hijau
Pemimpin PH menunjukkan bahawa mereka percaya usaha untuk meningkatkan kadar pengundi keluar menjalankan tanggungjawabn masing-masing dan memanfaatkan situasi antara BN dan PN mungkin memberi lebih harapan kepada mereka.
Sementara itu, sumber BN memberitahu Malaysiakini, mereka menjangkakan pengundi Melayu akan kembali ke pangkuan parti tersebut.
Keyakinan itu dinyatakan sebelum PN mengumumkan untuk bertanding hanya di 33 kerusi.
Orang dalaman BN juga berpendapat jumlah keluar mengundi yang tinggi tidak semestinya memihak kepada PH kerana pengundi luar yang kembali bukan golongan bukan Melayu saja, malah turut membabitkan pengundi Melayu muda.

Seorang pemimpin akar umbi BN pula memberitahu Malaysiakini, dengan jentera akar umbi yang mantap, pusat khidmat yang berfungsi dan pendekatan langsung menteri besar sementara Johor, Onn Hafiz Ghazi, menguruskan isu tempatan, kali ini BN menyasarkan untuk meraih 70 peratus undi Melayu.
Keyakinan itu antara lain dibuat berasaskan pemerhatian bahawa ‘Gelombang Hijau’ PN – yang menenggelamkan BN di negeri-negeri utara semasa PRU lalu – mempunyai momentum yang terhad di Johor.
PN hanya memenangi tiga kerusi dalam PRN 2022 dan dua daripada 26 kerusi parlimen Johor dalam PRU ke-15.
Lebih penting, BN berpendapat prestasi kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu mampu meyakinkan pengundi Melayu untuk meninggalkan PN dan kembali kepada mereka.
Sama ada keyakinan BN itu kukuh atau berlebihan memandang rendah Gelombang Hijau sekali lagi akan diuji pada 11 Julai nanti.
Perlu diakui yang demografi Johor berbeza daripada negeri lain kerana ia mempunyai kepekatan kerusi campuran yang tinggi.

Walaupun sesebuah kerusi itu boleh yang dianggap majoriti Melayu atau bukan majoriti Melayu, ia biasanya melibat mempunyai pelbagai etnik lain yang tinggi.
Ini bermakna bagi kebanyakan kerusi, sesebuah gabungan perlu menarik minat pelbagai demografi.
Kepelbagaian itu bukan sahaja terhad kepada pengundi, tetapi juga parti politik yang bertanding.
Parti serpihan PKR, Bersama, bakal membuat penampilan sulungnya di Johor manakala Muda bukan lagi sekutu PH. Pun begitu diyakini kedua-duanya masih boleh menarik minat penyokong tradisi PH.
