Anwar, Aliran dilarang sertai prosiding
Lima orang peguam bertindak keluar dewan mahkamah selepas suruhanjaya diraja melarang pelanggan mereka - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - daripada mengambil bahagian dalam siasatan klip video Lingam.
Larangan tersebut dikenakan selepas Anwar enggan menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya yang menghina suruhanjaya siasatan diraja itu.
Larangan itu juga dikenakan ke atas badan bukan kerajaan (NGO), Aliran, atas sebab yang sama.
Lima orang peguam bertindak keluar dewan mahkamah selepas suruhanjaya diraja melarang pelanggan mereka - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - daripada mengambil bahagian dalam siasatan klip video Lingam.
Larangan tersebut dikenakan selepas Anwar enggan menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya yang menghina suruhanjaya siasatan diraja itu.
Larangan itu juga dikenakan ke atas badan bukan kerajaan (NGO), Aliran, atas sebab yang sama.
Lima peguam tersebut ialah M Puravalen, William Leong, Ravindran Nekoo, Yusmadi Yusoff dan Oh Choong Ghee yang mewakili Anwar. Peguam Aliran, CV Prabhakaran tidak hadir di mahkamah petang tadi.
Anggota suruhanjaya tersebut, Steve Shim berkata, kenyataan yang dibuat oleh Anwar dan Aliran dianggap hampir menghina suruhanjaya tersebut.
“Memandangkan keseriusan tuduhan tersebut, maka kami terpaksa melarang mereka mengambil bahagian seterusnya dalam prosiding ini," kata Shim sambil menambah bahawa suruhanjaya itu akan mempertimbang kemudiannya tindakan yang akan diambil terhadap mereka.
Larangan itu dibuat sejurus selepas suruhanjaya itu menolak permohonan Anwar untuk membatalkan Tan Sri Haidar Mohd Nor sebagai pengerusi suruhanjaya tersebut kerana beliau mempunyai kaitan kekeluargaan dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang merupakan saksi utama dalam siasatan tersebut.
'Tidak boleh tanya soalan'
Seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Datuk Mahadev Shankar turut menegur Anwar.
“Beliau telah terlepas hak-haknya dalam siasatan itu kecuali jika beliau mengubah fikiran dengan memohon maaf dan menarik balik (kenyataannya) seperti yang kami minta," kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu.
Peguam Anwar, Puravalen memohon untuk mendapatkan penjelasan, tetapi Mahadev mengingatkannya bahawa beliau (Puravalen) tidak boleh lagi mewakili Anwar, atau mengemukakan sebarang soalan dan menyampaikan hujah sebagai seorang peguam ekoran larangan tersebut.
Sejurus selepas itu, kelima-lima peguam tersebut bertindak keluar dari dewan mahkamah sebagai tanda bantahan.
Suruhanjaya itu tetap berpegang pada keputusannya itu walaupun peguam Majlis Peguam, Robert Lazar menyuarakan keperihatinannya terhadap perkara tersebut. Menurut Lazar, suruhanjaya tersebut telah gagal mematuhi prosedur dalam menghukum seseorang individu kerana menghina seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Beliau menjelaskan, di bawah akta tersebut, perbuatan menghina boleh dihukum denda maksima RM100 atau tidak bulan penjara. Hukuman itu tidak termasuk melarang orang berkenaan daripada mengambil bahagian dalam siasatan yang dijalankan.
“Dalam kes ini, saya tidak fikir prosedurnya telah dipatuhi," kata Lazar.
Semakan kehakiman
Bercakap kepada pemberita di luar dewan mahkamah kemudiannya, Leong berkata, satu permohonan bagi semakan kehakiman akan dibuat berhubung keputusan suruhanjaya tersebut. Beliau mendakwa, prosedur sebenarnya tidak dipatuhi.
“Keputusan itu mengatakan Anwar hampir menghina, ia tidak berkata beliau sudahpun menghina, dan jika pun beliau berbuat demikian, satu saman perlu dikeluarkan terhadap beliau dan mendengar pembelaannya terlebih dahulu, kata beliau yang juga bendahari PKR.
“Beliau telah disapina sebagai saksi tetapi tidak dipanggil memberi keterangan dan sehingga sekarang, beliau tidak diberi peluang untuk didengar," tambah Leong.
Kenyataan Aliran dan Anwar telah disiarkan dalam Internet, termasuk Malaysiakini minggu lalu.
Artikel pertama merupakan sepucuk surat yang ditulis oleh Presiden Aliran, P Ramakrishnan bertajuk ‘Lingam inquiry: We’re shocked and devastated’ dan artikel kedua merupakam laporan berita Malaysiakini bertajuk ‘Kuasa-kuasa di belakang tabir' yang didakwanya memanipulasi siasatan tersebut, berasaskan kepada sidang akhbar Anwar.
Kedua-dua artikel tersebut mengkritik keputusan suruhanjaya siasatan diraja itu kerana tidak memanggil Anwar dan dua pemimpir BPR untuk memberi keterangan dalam siasatan pesuruhjan tersebut.

