Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas sebuah kapal dagang yang sedang belayar melalui Selat Hormuz, menurut Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
CENTCOM berkata sebuah pesawat AS menyerang lokasi simpanan peluru berpandu dan dron milik Iran, selain kemudahan radar pesisir pantai.
Seorang pegawai kanan AS memberitahu Fox News bahawa empat sasaran di sepanjang pesisir pantai Iran yang bersempadan dengan Selat Hormuz dan Pulau Qeshm diserang menggunakan enam pesawat tentera AS.
Presiden AS Donald Trump menerusi platform Truth Social mendakwa Tehran melancarkan sekurang-kurangnya empat dron sehala terhadap kapal-kapal yang melalui laluan berkenaan.
Beliau berkata tentera AS berjaya memintas tiga dron, manakala sebuah lagi mengenai sebuah kapal kargo sehingga menyebabkan kerosakan.
Trump menyifatkan serangan itu sebagai "pelanggaran yang tidak masuk akal" terhadap perjanjian gencatan senjata.
"Anda akan mengetahuinya," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kemungkinan tindak balas AS.
Naib Presiden AS JD Vance kemudiannya dilihat mengeluarkan amaran kepada Iran dengan menyatakan bahawa "keganasan akan dibalas dengan keganasan" menerusi kenyataan di platform media sosial X.
"Iran telah menandatangani perjanjian gencatan senjata. Kami telah mematuhinya.
"Jika mereka mempunyai sebarang pertikaian mengenai pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) itu, mereka boleh menghubungi kami," katanya.
Pada Khamis, pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan sebuah kapal kargo terkena projektil yang tidak dikenal pasti di perairan Oman, menyebabkan bahagian anjung kapal mengalami kerosakan.
Tiada kemalangan jiwa atau pencemaran alam sekitar dilaporkan.
CENTCOM menyifatkan serangan Iran sebagai "tindakan berbahaya" dan berkata "pencerobohan tanpa provokasi" oleh Iran jelas melanggar perjanjian gencatan senjata.
Kenyataan itu dibuat selepas televisyen kerajaan Iran melaporkan satu letupan kedengaran di bandar Sirik, Wilayah Hormozgan yang menghadap Selat Hormuz, namun tiada maklumat didedahkan mengenai punca letupan berkenaan.
- Bernama - Anadolu
