Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selesai pada 10 pagi ini, selepas semua 56 pusat penamaan calon di seluruh negeri ditutup.
Tempoh sejam diperuntukkan bagi urusan penyerahan borang pencalonan yang bermula 9 pagi, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan penutupan proses di pusat penamaan calon masing-masing.

Tumpuan kini terarah kepada pengisytiharan rasmi senarai calon yang layak bertanding serta jumlah persaingan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selesai proses itu, tempoh berkempen selama 14 hari bagi PRN Johor bermula secara rasmi seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 11.59 malam, 10 Julai, sebelum hari pengundian berlangsung.
Tinjauan Bernama di beberapa pusat penamaan calon mendapati para penyokong setia mengiringi calon parti masing-masing ke lokasi penamaan sejak awal pagi tadi.

Suasana di sekitar pusat penamaan calon dilaporkan aman dan terkawal tanpa sebarang provokasi, hasil kawalan rapi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
SPR menetapkan 7 Julai ini bagi tarikh pengundian awal manakala 11 Julai sebagai hari pengundian.

Sebanyak 2,727,926 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera bersama pasangan dan 12,710 anggota polis berserta pasangan.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/index.php .
- Bernama
