Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau kawan tak sudi bantu, kita terimalah - Muhyiddin
1

Bersatu menerima dengan hati terbuka keputusan PAS untuk tidak membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata presidennya, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebaliknya berkata parti itu akan bekerja keras dengan menggunakan kekuatan jentera sedia ada.

"Tak apalah, saya pun tak minta siapa nak bantu. Siapa nak bantu, bantu. Walaupun dalam soal prinsip Perikatan Nasional patut ada isunya saling membantu.

“Tapi kalau rakan-rakan tak nak bantu, kita terimalah.

"Dan setakat ini pun kita bekerja keras atas kekuatan yang kita ada, dan dasar serta amalan yang telah kita lakukan selama ini.

"Saya yakin pengundi akan tahu bagaimana mereka nak membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mengiringi calon PN bagi kerusi DUN Bukit, Dr Sahruddin Jamal di Kompleks Sukan Pagoh hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan Bersatu tidak akan menutup pintu untuk membantu PAS sekiranya keadaan memerlukan.

"Kalau mereka mahukan sokongan kita, kita akan bantu. Amalan kita, sikap kita terbuka," katanya.

Semalam Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan jentera parti itu tidak akan digerakkan untuk membantu kempen calon Bersatu dan hanya akan memberi fokus kepada 11 kerusi yang ditandingi parti Islam itu.

Abdul Hadi berkata kedua-dua parti akan menggunakan jentera berasingan dan strategi kempen yang berbeza, biarpun menggunakan logo PN yang sama.

Pada masa sama Abdul Hadi turut menegaskan kemelut antara PAS dengan Bersatu sudah selesai dan pihaknya tetap dengan keputusan untuk membatalkan kerjasama.

Nafi tiada hasrat tubuh kerajaan

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut menyangkal dakwaan BN bahawa PN tidak berhasrat membentuk kerajaan negeri memandangkan gabungan itu hanya meletakkan calon di 33 kerusi DUN.

Menurut Muhyiddin, jumlah kerusi yang ditandingi PN melebihi separuh daripada keseluruhan 56 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

"Soal jumlah itu satu hal. Dah lebih mencecah separuh daripada yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. Dan ada juga rakan-rakan yang lain yang sanggup untuk kita membuat electoral pact... jadi kalau ambil kiraan itu, lebih daripada separuh. Jadi tak bolehlah underestimate," katanya.

Ditanya mengenai pendirian dan strategi Bersatu sekiranya keputusan PRN kelak menyaksikan situasi DUN tergantung atau tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah, Muhyiddin enggan terburu-buru membuat ramalan.

Bagaimanapun, dia membayangkan pembentukan kerajaan menerusi gabungan baru merupakan perkara biasa yang sering berlaku dalam landskap politik semasa sekiranya situasi tersebut benar-benar terjadi.

Terdahulu Sahruddin yang merupakan penyandang kerusi Bukit Kepong sejak 2018 menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Bekas menteri besar Johor itu bakal berdepan pertandingan tiga penjuru dan akan dicabar oleh calon BN, Ahmad Syarie Yusof serta C Subramani daripada PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS