Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: BN amal politik matang, tak serang lawan - Zahid

Barisan Nasional (BN) mengamalkan pendekatan 'politik matang' dengan tidak menyerang, mengecam atau memburukkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu amat penting bagi memelihara keharmonian politik negara selain mahu jentera memberikan tumpuan untuk mempromosikan kelebihan calon-calon BN secara santun dan berhikmah.

"Kesefahaman yang telah kita tanamkan supaya kita tidak serang pihak lawan, walaupun kita berbeza pandangan dan pendapat untuk Johor ini, kerana kita harus melihat kepada gambaran yang lebih besar di peringkat nasional nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gelombang Biru DUN Benut di Kampung Parit Ismail di Pontian hari ini, yang turut dihadiri calon BN bagi DUN berkenaan Datuk Mohd Sumali Reduan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN mempunyai hasrat jelas untuk menambah penguasaan kerusi, namun ia bergantung kepada keupayaan jentera dalam menangkis sebarang isu dibangkitkan pihak lawan.

"Namun ia bergantung kepada bagaimana jentera sama ada media atau media sosial, dan jentera di lapangan menjawab isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Pada PRN kali ini, BN bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dengan menampilkan 37 calon UMNO, MCA (15) serta MIC (empat).

Pada PRN 2022, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri Johor dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin atau ahli parti yang tidak terpilih sebagai calon agar tidak berkecil hati, sebaliknya terus mempertahankan nilai kesetiaan demi memastikan kemenangan mutlak BN.

Mengenai dakwaan kononnya wujud perancangan menyerahkan kerusi kepada parti lain, Ahmad Zahid berkata BN kekal dengan pendirian untuk bertanding secara solo menggunakan lambang 'Dacing'.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS