Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Impian Piala Dunia lebur, presiden Korea Selatan buru dalang kronisme
Diterbitkan:  Jun 29, 2026 12:17 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

President Korea Selatan Lee Jae Myung mengarahkan siasatan terhadap kempen mengecewakan skuad bola sepak kebangsaan dalam Piala Dunia 2026 selepas pasukan itu tersingkir sebelum pusingan kalah mati.

Media memetik Lee sebagai berkata jumlah besar wang pembayar cukai yang dibelanjakan untuk penyertaan pasukan itu dalam Piala Dunia mewajarkan penelitian menyeluruh dilakukan.

Dia mengarahkan Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan untuk menyiasat punca kegagalan pasukan itu dan menggesa reformasi menyeluruh terhadap pentadbiran sukan Korea Selatan.

Lee Jae Myung

“Memandangkan dana pembayar cukai negara dan sumber sokongan kerajaan yang besar dilaburkan walaupun untuk penyertaan Piala Dunia, saya meminta Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan menyiasat secara menyeluruh keadaan sebenar insiden ini, menganalisis puncanya, dan merangka langkah tuntas bagi mencegah pengulangan serta membuat penambahbaikan.

“Kita akan mempercepat reformasi pentadbiran sukan dengan pantas bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya seperti yang dipetik oleh Reuters.

Lee juga berkata dia “benar-benar bingung” dengan prestasi pasukan itu dan mempersoalkan mengapa Hong Myung-bo, bekas pertahanan skuad kebangsaan, dipilih sebagai jurulatih.

Dalam satu hantaran di X, Lee berkata penyingkiran awal pasukan itu "kelihatan seperti kegagalan organisasi dan kakitangan".

"Apabila sikap pilih kasih dan kronisme diutamakan berbanding kecekapan dalam memilih seorang pengemudi, hasilnya boleh dijangka seperti api membakar kertas," katanya, menurut BBC.

Hong sejak itu mengumumkan bahawa dia meletakkan jawatan.

“Bukan keputusan yang mudah untuk saya mengambil peranan ini, tetapi sebaik sahaja saya menerimanya, saya tidak memikirkan perkara lain melainkan bertanggungjawab sehingga ke saat terakhir,” katanya.

Pelantikan Hong sebagai ketua jurulatih mencetuskan kontroversi sejak awal. Sebagai bekas pemain pertahanan, dia merupakan ikon nasional bagi kempen Piala Dunia 2002 Korea Selatan, selepas mengetuai pasukan itu selaku kapten sehingga mara ke peringkat separuh akhir yang bersejarah. Bagaimanapun, tempoh kendaliannya yang lalu pada 2014 berakhir dengan kekecewaan, apabila pasukan itu gagal melangkah melepasi peringkat kumpulan dan tidak mencatatkan sebarang kemenangan.

Apabila dia dilantik semula pada 2024, keputusan itu mencetuskan reaksi negatif yang meluas. Ramai peminat mengkritik tindakan tersebut sebagai contoh kepimpinan persatuan bola sepak yang terlalu memilih tokoh yang rapat dengan mereka, dan berhujah bahawa calon asing yang berkelayakan - yang dilaporkan menjalani proses tapisan rapi - telah diketepikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS