PARLIMEN | Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal hari ini menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dibatalkan oleh kerajaan PH pada 2018 sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan cukai yang lebih luas.
Dia yang juga Ketua Penerangan Parti Wawasan Nasional (Wawasan) juga mengakui sebelum ini PH mempersenda dan mengkritik pelaksanaan cukai tersebut semasa zaman Najib Razak menjadi perdana menteri.
Pun begitu, katanya, ia tidak sepatutnya menghalang kerajaan sekarang menghidupkannya semula.
"Janganlah segan silu nak perkenalkan semula GST walaupun dulu ada (ahli politik) yang menyanyi lagu (menyindir) ABCD-GST," katanya.
Malah bekas ketua Pemuda Bersatu itu menganggap tidak ada salahnya jika skim cukai tersebut diberikan nama baru.
"Apa salahnya guna nama Cukai Madani (misalnya), tapi kita letaklah dengan kadar yang lebih rendah, seperti 3 peratus," katanya.
Wan Ahmad Fahysal berkata demikian semasa memberikan reaksi kepada penjelasan Menteri Ekonomi Akmal Nasir mengenai krisis bekalan global yang dicetuskan oleh konflik AS-Iran di Asia Barat.
Untuk rekod, pelaksanaan GST adalah antara isu yang digunakan PH dalam kempen mereka menghadapi PRU kira-kira lapan tahun lalu.
Ulang skrip yang sama
Ketika itu BN meneruskan penguasaan mereka sebagai kerajaan dan berdepan dengan tekanan daripada PH selaku pembangkang utama.
Bersatu - yang menjadi parti Wan Ahmad Fayhsal ketika itu - turut mengkritik pelaksanaan GST.
Berdasarkan situasi semasa, tambah Wan Ahmad Fahysal hari ini, dasar subsidi kerajaan bukan lagi penyelesaian jangka panjang yang mampan, malah negara memerlukan pembaharuan cukai yang lebih substansial.
Dia juga menggesa kerajaan untuk melibatkan ahli pembangkang dalam merangka rangka kerja untuk menangani cabaran ekonomi selaras dengan pendekatan menyeluruh kerajaan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang itu menegur Akmal kerana menggunakan istilah “konflik” untuk menggambarkan perseteruan yang berlangsung di antara Washington dan Tehran.
Katanya istilah tersebut adalah tidak tepat.
"Sebenarnya (istilah itu) kena lebih tepat... ia suatu perang, ya. Ia perang haram yang berlaku di antara AS dan Iran," katanya.
Dalam perkembangan lain Wan Ahmad Fahysal menggesa kerajaan mengambil pendekatan yang tepat terkait isu kedaulatan negara dan menyeru pelancaran pelan pembangunan penjanaan kuasa nuklear pertama Malaysia.
“Untuk mewujudkan kuasa nuklear mengambil masa bertahun-tahun.
“Jika kita masih menangguhkan (pelan) ini, akhirnya apabila krisis ekonomi berulang setiap 10 tahun, kita juga akan mengulangi skrip lama yang sama.
“Rakyat terus menderita, kerajaan terus memotong bajet Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, yang sebenarnya tidak betul.
“Kerajaan patut memotong bajet menteri yang sering pergi ke luar negara dengan rombongan yang ramai,” katanya.
