Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS gopoh cari damai, Iran pilih main tarik tali
Diterbitkan:  Jun 30, 2026 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Pasukan perunding Iran dan Amerika Syarikat (AS) dijadualkan tiba di Doha minggu ini, namun Iran menyatakan tiada sebarang pertemuan dirancang ketika serangan peluru berpandu oleh kedua-dua pihak pada hujung minggu lalu menguji gencatan senjata sementara bagi menamatkan perang yang berusia empat bulan.

Menurut Reuters, Presiden AS Donald Trump menghantar menantu lelakinya Jared Kushner serta utusannya Steve Witkoff untuk mengetuai pasukan perunding tersebut, menurut setiausaha akhbarnya Karoline Leavitt.

Iran pula menghantar delegasi teknikalnya ke Qatar minggu ini, namun jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baghaei berkata perkara itu "tiada kaitan" dengan lawatan pihak AS dan tiada rundingan antara kedua-dua belah dijadualkan.

"Kita tidak akan mengadakan sebarang pertemuan rundingan pada mana-mana peringkat dengan pihak AS dalam beberapa hari akan datang," kata Baghaei.

Perselisihan faham tentang sama ada kedua-dua pihak akan bertemu atau tidak menonjolkan lagi kerapuhan perjanjian 17 Jun yang menghentikan seketika konflik yang mengganggu aliran minyak global melalui Selat Hormuz, selain mencetuskan masalah politik kepada Trump menjelang pilihan raya kongres pada November.

AS dan Iran memberikan tempoh sekurang-kurangnya 60 hari kepada diri mereka untuk melaksanakan memorandum persefahaman 14 perkara bagi melanjutkan gencatan senjata April. Ia juga bagi, membincangkan program tenaga dan penyelidikan nuklear Iran serta simpanan uranium diperkaya tinggi yang mahu dikeluarkan oleh Trump, dan merundingkan gencatan senjata kekal.

Namun, kemajuan didapati terhenti apabila setiap pihak menuduh pihak yang lagi satu melanggar syarat yang dipersetujui.

Selepas AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, trafik maritim melalui Selat Hormuz, laluan sempit yang sebelum ini membawa kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak global, hampir terhenti sepenuhnya.

Israel tidak menyertai rundingan damai AS-Iran dan menjauhkan diri daripada perjanjian tersebut. Penutupan laluan air itu menyebabkan harga minyak melonjak melebihi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan inflasi global dan memberi tekanan kepada Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang akan menentukan kawalan terhadap Kongres AS, di mana sebahagian rakan partinya daripada Republikan mengkritik presiden kerana melancarkan perang tanpa kebenaran penggubal undang-undang.

Seorang pegawai kanan Iran berkata satu pertemuan akan diadakan di Doha pada Selasa, namun berbeza dengan rundingan teknikal sebelum ini antara pasukan Iran dan AS di Switzerland. Tumpuan kali ini adalah terhadap pengurusan Selat Hormuz dan meredakan ketegangan.

Seorang lagi pegawai yang mempunyai maklumat tentang rancangan itu berkata pasukan teknikal dari AS dan Iran dijangka bertemu secara berasingan dengan pengantara Qatar dan Pakistan pada Rabu.

Dalam perjanjian gencatan senjata terbaharu, Iran bersetuju untuk "mengatur langkah menggunakan usaha terbaiknya demi laluan selamat" bagi kapal tangki dan kapal komersial lain melalui selat berkenaan.

Selepas menandatanganinya, terdapat lonjakan singkat dalam trafik perkapalan, namun ia tidak bertahan lama selepas Iran menyatakan ia akan menghentikan kapal yang tidak mengikut laluan perkapalan yang diluluskannya.

Mekpamerkan kuasanya dalam mengawal selat yang dikongsi bersama jiran Oman, Iran juga menyatakan ia merancang untuk mengenakan bayaran kepada kapal yang menggunakan selat tersebut selepas tempoh 60 hari tamat, perkara yang tidak berlaku sebelum perang dan tindakan ini menimbulkan kemarahan Trump.

AS menuduh Iran menyerang sekurang-kurangnya dua kapal komersial di selat berkenaan dengan peluru berpandu atau dron sejak beberapa hari kebelakangan ini, lalu mengebom kemudahan tentera Iran pada hujung minggu.

Iran sebagai tindak balas melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera AS di Kuwait dan Bahrain pada awal Ahad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS