Bella Astillah menghormati keputusan mahkamah yang menangguhkan keputusan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyelewengan dana melibatkan tunangnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Saya hormati keputusan mahkamah sebab ada perkara yang kita tidak boleh jangka. Jadi, saya hormat sahaja keputusan mahkamah.
“Doakan yang terbaik," dia dipetik sebagai berkata selepas prosiding di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya pagi ini.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah mendedahkan dia mengosongkan jadual hari ini semata-mata mahu memberi sokongan kepada Syed Saddiq.
"Semoga tabah.. Insya-Allah sentiasa sokong. Saya ada kerja hari ini.
“Selepas ini hendak pergi makan tengah hari, kemudian terus pergi kerja," kata penyanyi dan pelakon itu, seperti dilaporkan Harian Metro.
Kes hari ini ditangguhkan ke 13 Julai kerana salah seorang hakim kes Che Ruzima Ghazali, bercuti sakit.
Mahkamah Persekutuan pada mulanya dijadual untuk menyampaikan keputusan hari ini mengenai rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap pembebasan Syed Saddiq berhubung tuduhan berkaitan dana Pemuda Bersatu.
Syed Saddiq berkata dia telah memperjuangkan keadilan sejak enam tahun lalu dan menerima jika perlu menunggu dua minggu lagi untuk membersihkan nama.
Hannah Yeoh nyatakan solidariti
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh turut hadir ke mahkamah bagi menyatakan sokongan.
“Solidariti bersama Syed Saddiq di Mahkamah Persekutuan pagi tadi,” kata menteri DAP itu, yang menyiarkan gambar di lokasi, antaranya menunjukkan dia bergambar bersama Bella.

Hadir bersama Syed Saddiq di mahkamah hari ini ialah ahli keluarganya, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, dan bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Syed Saddiq didakwa pada 2021 dengan empat kesalahan rasuah - satu bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Bersatu Youth Enterprise dengan memaksa Rafiq Hakim Razali melupuskan dana itu antara 8 dan 21 April 2018.
Rafiq merupakan bekas penolong bendahari pemuda Bersatu dan juga saksi utama pendakwaan dalam kes ini.
Selain itu, Syed Saddiq, yang merupakan bekas presiden Muda, didakwa bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana Pemuda Bersatu berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah jenayah pada 6 Mac 2020.
Dia juga didakwa dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram melalui transaksi RM50,000 setiap satu daripada akaun Maybank Islamic Bhd miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada 16 dan 19 Jun 2018, di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
