Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata pilihanraya umum kali ini mungkin yang terakhir disertainya apabila Parlimen dijangka dibubarkan pada bila-bila masa bulan ini selepas 42 tahun aktif dalam politik.

lim kit siang 03 Oleh itu, beliau berharap sempena ketibaan Tahun Tikus, para pengundi akan memberi 'ibu segala ang pau' dengan mengundi untuk perubahan dalam pilihanraya umum kali ini untuk generasi masa depan.

"Ini merupakan tahun ke-42 pembabitan saya dalam politik dan pilihanraya ke-10 dan mungkin yang terakhir yang akan saya sertai apabila Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa dalam bulan ini," katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru Cina esok.

Beliau mengajak rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Cina di negara ini, supaya menjadikan Tahun Baru Cina 2008 sebagai yang paling bermakna antara tahun-tahun baru yang disambut di negara ini, yang berkebetulan dengan sambutan 50 tahun Merdeka.

Lim berkata, ia bagi menandakan keazaman politik dan komitmen masyarakat Cina Malaysia, bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia, untuk membawa perubahan sebenar selepas 50 tahun negara gagal mencapai potensi sebenar kenegaraan Malaysia.

"Marilah semua rakyat Cina Malaysia dan rakyat keseluruhannya memikirkan semasak-masaknya apakah faktor-faktor yang mengekang negara sejak lima tahun lalu untuk muncul sebagai negara kelas dunia.

Nafi majoriti dua pertiga

"Adakah ianya di segi demokrasi berparlimen, pemerintahan undang-undang, kecemerlangan pendidikan, persaingan di peringkat antarabangsa, kecekapan, perkhidmatan awam yang tidak rasuah, kadar jenayah yang rendah, kualiti hidup - yang membolehkan negara-megara lain seperti Singapura, Taiwan dan Korea selatan mengatasi kita serta berdepan dengan kemungkinan ketinggalan di belakang Thailand, Vietnam dan malah Indonesia," katanya.

Lim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu yakin bahawa Barisan Nasional (BN) akan kembali berkuasa selepas pilihanraya umum ke-12 nanti.

"Mereka betul. Tetapi jika mereka boleh dibuktikan salah bahawa BN akan dipilih semula dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, maka Malaysia akan melalui satu perubahan yang besar, yang boleh menghasilkan tenaga dan kekuatan yang hingga sekarang belum diterokai, dan selama ini menyebabkan Malaysia tidak terserlah.

Bagaimanapun, katanya, mungkin mudah untuk menafikan BN kemenangan dua pertiga kerana ia bermakna BN perlu ditewaskan di sekurang-kurangnya 75 daripada 222 kerusi Parlimen.

Katanya, kalaupun tewas di 75 kerusi dan tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen, BN masih mempunyai 147 kerusi Parlimen, iaitu dengan kelebihan 72 kerusi.

Bagaimanapun, katanya, jika BN berjaya dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang, maka ia merupakan langkah pertama ke arah menjadi matlamat Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

"Malah, ini akan merupakan ang pow terbesar dari rakyat Cina Malaysia dan semua rakyat Malaysia kepada negara dan generasi masa depan sempena sambutan 50 tahun Merdeka," kata Lim.