Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budi Diesel bakal bermula untuk 700,000 pemilik kenderaan
Diterbitkan:  Jun 30, 2026 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara bakal menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) bermula tengah malam ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan Budi Diesel dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut MOF, pelaksanaan tersebut merupakan peluasan ketara berbanding Budi Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Kerajaan Madani juga akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” kata MOF.

Kementerian itu turut memaklumkan pelaksanaan subsidi bahan api berkenaan adalah untuk memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api dan menyokong pertumbuhan negara.

Akses awal Budi Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun lalu dengan merekodkan kira-kira 80,000 transaksi setakat 12 tengah hari tadi.

Menurut MOF, ia melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter.

"Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak,” katanya.

MOF turut memaklumkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan melalui portal rasmi Budi Madani dengan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Permohonan pindah kelayakan

Menurut kenyataan itu juga, lebih 22,000 permohonan diterima melalui portal rasmi Budi Madani bagi tambahan 100 liter sebulan tersebut, setakat jam 9.00 pagi tadi.

Sementara itu, MOF menyatakan, kerajaan akan melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai.

Katanya ia melibatkan fi yang pada masa ini boleh mencecah sehingga RM100 bagi pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat.

Bagi memudahkan urusan itu, kata MOF, kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di semua pejabat negeri dan UTC akan dibuka pada hujung minggu mulai 4 hingga 26 Julai ini.

Katanya kaunter berkenaan beropeasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Selain itu, MOF turut menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan Budi Diesel bagi kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar.

Menerusi mekanisme itu, katanya, penerima asal Budi Diesel boleh memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat iaitu pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.

“Setakat jam 9 pagi 30 Jun ini, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan Budi Diesel diterima melalui MoF.

"Pemindahan hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja. Selepas diluluskan, penerima boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan Budi Diesel pemilik asal,” katanya.

Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan Budi Diesel bagi memastikan subsidi sampai kepada pengguna yang layak, mengurangkan ketirisan dan melindungi bekalan negara.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan dan maklumat lanjut di www.budimadani.gov.my.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS