mk-logo
Berita
Isu dana AS$6 bilion dibekukan: Iran mula rundingan dengan AS
Diterbitkan:  Jul 1, 2026 3:36 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Perunding Iran akan mengadakan pertemuan dengan pengantara Qatar di Doha pada Rabu bagi membincangkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MOU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, termasuk pelepasan aset Iran yang dibekukan, kata Tehran pada Selasa sambil menegaskan tiada rancangan untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Washington, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata perbincangan di Doha akan tertumpu kepada pelaksanaan klausa dalam memorandum persefahaman itu, menurut penyiar awam IRIB.

"Apa yang akan dilakukan di Doha pada Rabu ialah perbincangan mengenai pelaksanaan klausa memorandum persefahaman, termasuk pelepasan aset Iran yang dibekukan, yang melibatkan pihak Qatar," katanya.

Dia menegaskan Tehran tidak bercadang mengadakan sebarang pertemuan dengan pihak AS dalam tempoh beberapa hari akan datang.

"Pada asasnya, kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk bertemu pihak AS di mana-mana peringkat dalam tempoh beberapa hari akan datang," katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Qatar memaklumkan bahawa utusan khas AS Steve Witkoff dan Jared Kushner berada di Doha untuk bertemu pengantara serta membincangkan perkembangan rundingan dengan Iran.

Secara berasingan, seorang pegawai kanan AS berkata Witkoff dan Kushner dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani serta pengantara lain di Doha pada Selasa bagi meneruskan dialog serantau mengenai memorandum persefahaman itu.

Pegawai itu berkata delegasi AS dan Iran dijangka menyertai rundingan teknikal secara berasingan bersama pengantara dari Qatar dan Pakistan pada Rabu.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari berkata pemindahan dana Iran berjumlah AS$6 bilion daripada keseluruhan AS$12 bilion yang dibekukan "akan dipersetujui oleh AS dan Iran", sambil mengesahkan dana itu masih belum dipindahkan kepada Tehran.

Dia berkata isu dana yang dibekukan itu bergantung kepada kemajuan rundingan antara Washington dan Tehran.

Masoud Pezeshkian (kanan) dan Donald Trump

MOU antara Washington dan Tehran mula berkuat kuasa pada 18 Jun selepas ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Presiden AS Donald Trump.

Memorandum itu menyediakan rangka kerja bagi menamatkan konflik yang tercetus pada akhir Februari serta menyelesaikan isu tertunggak antara Washington dan Tehran menerusi rundingan termasuk menghentikan permusuhan, pelonggaran sekatan, isu nuklear, pembukaan sepenuhnya Selat Hormuz serta aturan keselamatan serantau yang lebih menyeluruh.

Iran, AS tubuh jawatankuasa bersama pantau situasi di Lubnan

Sementara itu, Sputnik/RIA Novosti melaporkan Iran, AS dan Lubnan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memastikan kedaulatan negara Lubnan terus terpelihara, kata Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf.

"Sebuah jawatankuasa bersama melibatkan Iran, AS dan Lubnan akan ditubuhkan bagi memastikan kedaulatan negara Lubnan.

"Duta Besar Iran ke Lubnan akan mewakili kami dalam jawatankuasa itu," katanya pada Selasa.

Mohammad Bagher Ghalibaf

Pada masa sama, dia berkata lesen yang membenarkan Iran menjual minyak akan diperbaharui sekiranya rundingan antara kedua-dua pihak dilanjutkan.

"Lesen itu perlu dilanjutkan sehingga rundingan, sekiranya diteruskan, mencapai keputusan muktamad yang akan membawa kepada penarikan balik sekatan utama dan sekatan sekunder terhadap Iran," katanya.

Ghalibaf berkata pihak-pihak yang terlibat masih belum memulakan perbincangan mengenai perjanjian muktamad kerana tidak semua peruntukan dalam memorandum persefahaman (MOU) dilaksanakan.

Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan AS pada Isnin mengeluarkan lesen am yang membenarkan aktiviti berkaitan pengeluaran, penjualan, penghantaran dan pemunggahan minyak mentah, produk petrokimia serta produk petroleum Iran sehingga 21 Ogos.

Pada awal pagi 18 Jun, Iran dan AS menandatangani MOU secara jarak jauh bagi menamatkan konflik ketenteraan yang bermula pada 28 Februari.

Dokumen itu turut menetapkan garis masa bagi AS menamatkan sekatan maritim terhadap pelabuhan Iran, manakala Iran pula akan memulihkan semula pelayaran melalui Selat Hormuz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS